Adakah Bitcoin perlu penerimaan pengusaha runcit?

Apakah matlamat utama mata wang kripto dan adakah ia berfungsi sebagai medium pertukaran atau tempat penyimpanan nilai? Adakah ia salah satu aplikasi yang disyorkan merentasi kertas penyelidikan dan forum atas talian? 

Jika kita mengambil kira potensi Bitcoin sebagai antara prospek yang mampu menggantikan mata wang tradisional sebagai medium pertukaran, maka aspek penerimagunaan pengusaha runcit (retail adoption) adalah penting untuk diambil kira. Menurut sebuah artikel yang diterbitkan oleh Crowdfunder Insider iaitu hab informasi untuk teknologi distruptif membangun, ia antara lain menekankan bahawa aspek penerimagunaan kripto boleh didorong oleh para pengusaha runcit. Mengulas lanjut tentang aspek berkenaan, artikel tersebut menjelaskan “selama ini peniaga runcit telah berfungsi sebagai pihak pengantara untuk teknologi pembayaran baharu. Dengan kemunculan kad kredit dan debit di dalam pasaran, penerimagunaan runcit telah mendorong keyakinan para pengguna ke tahap yang lebih tinggi dan sekali gus digunakan secara meluas.”

Permintaan daripada pengguna terus meningkat dari semasa ke semasa. Berdasarkan tinjauan Crowdfunder, “pembayaran bulanan untuk barangan dan perkhidmatan dengan menggunakan Bitcoin telah melonjak daripada 9.2 juta pada 2013 kepada 190.2 juta menjelang tahun 2017, iaitu bersamaan peningkatan sebanyak 2000%.” Tinjauan ini turut disokong oleh kajian penyelidikan yang telah kami jalankan. Apabila kami bertanyakan kepada komuniti kami tentang kecenderungan mereka sama ada untuk membuat pembayaran dengan menggunakan kripto sekiranya diberi pilihan, rata-rata responden melebihi 80% daripada jumlah 435 responden telah memberi tanda persetujuan masing-masing.

Sejajar dengan trend ini, bilangan pengusaha runcit yang menerima pembayaran dalam bentuk kripto telah meningkat kepada 30% pada tahun 2017. Hari ini, Bitcoin semakin diterima orang ramai sehingga menjadi salah satu kaedah pembayaran oleh peruncit utama meliputi pelbagai industri. Antaranya seperti Subway, Whole Foods, Nordstrom dan lain-lain. Namun angka ini dilihat masih kurang mencukupi dan persoalannya adalah apakah pendorong utama yang bakal mengubah situasi ini?

Apakah faktor yang mendorong peniaga untuk menceburi kripto?

Bagi para perusahaan runcit, terdapat banyak manfaat yang dapat diperoleh apabila menawarkan kripto sebagai kaedah pembayaran. Dalam hal ini, peruncit bukan sahaja dapat memenuhi permintaan pengguna malahan mereka juga dapat mengeksploitasi keunikan dalam teknologi rantaian blok seperti tahap keselamatan dan protokol sulit sedia ada, proses verifikasi transaksi yang pantas, perlindungan daripada penahanan wang palsu, fi transaksi yang lebih murah menerusi interaksi yang terhad dengan pihak ketiga di samping pangkalan pengguna rentas sempadan yang tidak memerlukan kaedah perbankan.

Elemen penahanan wang atau chargeback misalnya telah menjadi antara kebimbangan para peruncit. Situasi ini sekali gus memberi kesan yang boleh menjejaskan reputasi peruncit serta akaun bank yang diguna pakai oleh mereka bagi tujuan perniagaan. Penahanan wang pada asalnya direka sebagai mekanisme perlindungan pengguna untuk mengembalikan sebilangan dana kepada pengguna apabila melaporkan fi atau amaun transaksi tertentu yang mencurigakan sama ada melibatkan interaksi dengan kedai fizikal atau laman beli-belah atas talian.

Malangnya insiden sedemikian turut menjejaskan para peruncit yang terpaksa dilabel sebagai mangsa penipuan penahanan wang atau friendly fraud di mana seseorang pengguna melaporkan penahanan wang terlebih dahulu berbanding membuat permohonan kepada peruncit untuk mendapatkan pulangan mereka. Berdasarkan tinjauan portal Chargebacks911, ia dianggarkan sekitar 86% daripada penahanan wang yang berlaku adalah berpunca daripada penipuan penahanan wang yang dilaporkan meningkat hampir 41% setiap dua tahun.

Menurut Chargeback Gurus, “fi bagi penahanan wang adalah sekitar $20 hingga $100”. Selain itu, terdapat juga kos tambahan yang mungkin dikenakan terhadap peruncit dalam insiden penahanan wang. Dalam sebuah eksperimen, mereka mengunjurkan penahanan wang yang berlaku ke atas pembelian bernilai $100 boleh mencecah $207 setelah mengambil kira kos lain yang terlibat. Sifat teknologi rantaian blok yang unik bermakna segala transaksi yang melibatkan kripto adalah muktamad untuk mengelakkan peruncit daripada insiden penipuan penahanan wang atau mengalami kerugian yang besar. 

Bagi pengguna yang menggunakan kripto dalam pembelian runcit pula, langkah ini dapat meningkatkan tahap keselamatan serta sifat saling boleh kendali yang tinggi. Meskipun dengan kadar fi yang rendah, ia bergantung kepada purata fi rangkaian Bitcoin pada waktu transaksi berlaku. Manakala bagi pengguna yang membeli barangan eksklusif atau pembelian tiket kapal terbang dengan kripto, ini juga dapat mengurangkan proses perbankan yang rumit serta ketidakstabilan mata wang. Tambahan pula, keunikan rantaian blok turut memberi perlindungan kepada pengguna daripada sebarang pertikaian pembayaran yang mungkin berlaku. 

Tahap penerimagunaan semasa 

Sungguhpun terdapat peningkatan ketara dari segi permintaan pengguna termasuk nama-nama terkemuka yang mula menerima mata wang Bitcoin, namun masih wujud jurang penambahbaikan dalam aspek penerimagunaan perusahaan runcit. Tinjauan daripada firma Hartford Steam Boiler (HSB) pada tahun 2020 mendedahkan hampir 36% daripada perusahaan kecil dan sederhana di Amerika Syarikat menerima pakai Bitcoin. Angka ini dilihat agak signifikan memandangkan Bitcoin hanya muncul dalam suatu tempoh masa yang singkat dan terdapat banyak ruang dari segi pertumbuhan mata wang kripto. 

Pada masa yang sama, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan peruncit tidak memilih kripto sebagai medium pembayaran. Dalam hal ini, firma penyelidikan Panteia telah menjalankan sebuah tinjauan pada 2018 yang tertumpu kepada 768 peruncit maya yang berpangkalan di negara Belanda. Daripada jumlah tersebut, hanya 43 peruncit yang menerima mod pembayaran kripto. Salah satu punca adalah golongan peruncit yang masih belum tersedia untuk menerima kripto iaitu sebanyak 58%. Ia disusuli oleh permintaan pengguna yang berkurangan (36%), “keengganan untuk menerima kripto” (17%) dan elemen ketidakpercayaan terhadap kripto (16%) yang mendorong punca para pengusaha runcit untuk tidak memilih kripto sebagai kaedah pembayaran mereka. Kajian tersebut turut menjelaskan “secara keseluruhannya kajian ini memberi indikasi bahawa permintaan pengguna mempengaruhi keputusan sama ada untuk menerima atau sebaliknya.”

Yang jelas masa depan mata wang kripto adalah cerah selepas mengambil kira rata-rata peruncit yang menerima kripto adalah daripada golongan berusia di bawah 30-an yang memberi indikasi terhadap tahap kesedaran mereka tentang pasaran kripto. Selain itu, peruncit yang beroperasi dalam industri “media” atau “elektronik” turut bersifat optimistik dalam aspek penerimagunaan kripto berbanding penggiat aktif dalam sektor yang lain.

Apakah kekangan yang dihadapi oleh kripto?

Hakikatnya, terdapat cabaran dan kekangan yang mendepani industri kripto sebelum ia benar-benar diterima orang ramai termasuk para peruncit. Menurut portal Crowdfunder Insider, “mata wang kripto masih dibayangi segelintir pihak sebagai wang “tidak tulen” ditambah pula paparan berita yang menggemparkan tentang ketidaktentuan kerangka kawal selia. Jadi apakah kaedah terbaik ke arah menentukan keabsahan kripto? Sudah tentulah ia termasuk menggalakkan keterlibatan peruncit ke dalam ruang kripto dalam situasi yang penuh bermakna secara berperingkat.”

Berdasarkan kajian penyelidikan oleh Visual Capitalist, antara tiga cabaran utama dalam konteks pembayaran Bitcoin adalah: 

1. Ketidaktentuan dari segi harga pasaran: “Pada tahun 2017, pergerakan harga Bitcoin amat dinamik di antara $1,000 dan $20,000. Perbezaan ketara dalam harga Bitcoin menjadikannya kurang menarik bagi transaksi harian.”

2. Tempoh transaksi yang panjang: “Purata tempoh pengesahan Bitcoin adalah sekitar 10 minit untuk setiap transaksi pada ketika ini.”

3. Kadar fi transaksi yang tinggi: “Purata kos transaksi adalah sekitar $1 buat sementara waktu.” Yang penting fi transaksi Bitcoin adalah bergantung kepada beberapa pemboleh ubah. Walau bagaimanapun, Bitcoin terus menjadi salah satu pilihan utama yang paling murah terutamanya bagi transaksi yang melibatkan amaun yang besar.

Di sebalik proses kematangan Bitcoin, aspek kemeruapan atau pasaran yang tidak menentu menjadi kebimbangan khususnya para pengusaha peruncit dan peniaga yang lebih cenderung untuk mengambil pendekatan secara berwaspada dengan tahap risiko yang rendah dalam soal keuntungan. 

Dari segi kadar fi ia terus menjadi persoalan yang perlu dirungkai. Menurut  laman Digital Commerce 360, “PayPal merupakan kaedah pembayaran kelima yang paling lazim diterima oleh peruncit selepas Visa, MasterCard, American Express dan Discover Card.” Gergasi pembayaran Paypal yang dimiliki oleh eBay boleh diakses di lebih 200 pasaran di seluruh dunia. Namun, PayPal mengenakan caj tertentu terhadap wang yang diterima serta fi yang agak tinggi (~3%) untuk setiap transaksi. Bagi pembayaran yang dilakukan di luar Amerika Syarikat, fi ini mungkin menjadi lebih tinggi. Jadi mengapakah lebih ramai peruncit memilih opsyen seperti Paypal berbanding dengan Bitcoin?

Mengatasi rintangan 

Tidak dinafikan rintangan yang wujud antara pengusaha runcit dan penerimagunaan semestinya dapat diatasi. Hal ini memandangkan dunia kini sedang menyaksikan pertumbuhan pesat terutamanya pengoperasian kripto serta pengurangan tempoh transaksi yang terus mendorong Bitcoin ke arah pasaran utama global.

Pada masa yang sama, perlu diingatkan bahawa teknologi rantaian blok dan mata wang kripto masih dilihat sebagai industri baharu berbanding institusi perbankan dan kewangan yang telah wujud sekian lama. Sektor mata wang kripto dan pembayaran terus berkembang dalam menangani sebarang cabaran yang dihadapi. Misalnya dengan kemunculan Rangkaian Lighting yang berjaya mengurangkan tempoh transaksi. 

Selain itu, terdapat sebilangan besar penyedia perkhidmatan pembayaran (PSP) yang bertujuan membantu para peruncit dari segi pengurusan risiko serta mengambil kira ketidaktentuan pasaran Bitcoin. Antaranya termasuk syarikat seperti Bitpay yang memberi perlindungan kepada peruncit dengan menukarkan amaun kripto yang dibayar secara automatik kepada mata wang tempatan dalam tempoh sehari perniagaan selepas transaksi pembelian dibuat. 

Seperti yang digariskan oleh Crowdfunder Insider, “perusahaan peruncit berperanan sebagai titik rujukan yang memberi akses kepada para pengguna untuk memahami keunikan serta kegunaan mata wang digital.” Usaha berterusan ke arah merangka solusi kemudahan pembayaran yang tertumpu kepada aspek pengurusan risiko dan kadar fi dapat memperkasa peranan kripto dalam konteks pasaran utama masa kini. Berbanding wang fizikal, para pengguna dalam kalangan generasi muda semakin menyesuaikan diri dengan mata wang kripto dengan syarikat-syarikat yang turut menawarkan kaedah pembayaran menggunakan kripto dan sekali gus menyaksikan keterlibatan pihak peruncit demi menjamin masa depan yang cerah.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0