Adakah penggunaan Bitcoin lebih lestari berbanding emas?

Kadar penggunaan tenaga Bitcoin telah menjadi salah satu topik yang hangat diperbincangkan dalam konteks mata wang kripto. 

Pendebatan ini pernah mencuri tumpuan orang ramai pada bulan Mei yang lalu apabila Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk membuat ciapan ‘U-turn’ di Twitter dengan menerima Bitcoin sebagai pembayaran untuk kereta yang dibeli. Rentetan daripada itu, terdapat berbagai-bagai isyarat yang membayangkan kemungkinan penarikan balik keputusan akan dibuat, lebih-lebih lagi berikutan pengumuman Musk pada bulan Jun bahawa Bitcoin “telah menjadi semakin mesra alam sekitar” dan ini mungkin menjadi antara faktor yang mendorong Tesla untuk menerima semula Bitcoin. Kebarangkalian ini terus wujud sungguhpun ia belum menjadi realiti. 

Jadi persoalannya adakah aktiviti perlombongan Bitcoin membawa kesan negatif secara langsung terhadap persekitaran seperti yang didakwa atau aspek ‘tenaga boleh diperbaharui yang positif’ sebagai daya tarikan sebenar? 

Penggunaan tenaga dalam konteks Bitcoin

Bitcoin dicipta menerusi proses yang dikenali sebagai kaedah perlombongan.

Aktiviti perlombongan Bitcoin secara amnya bermakna persaingan antara pelombong untuk menyelesaikan teka-teki matematik yang bergantung kepada keupayaan komputer untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan sehingga mencapai suatu solusi penyelesaian yang sesuai.

Situasi ini melibatkan program perisian yang khusus serta penjanaan dari segi kuasa pengkomputeran yang memerlukan tenaga yang banyak seperti mana fungsi operasi komputer. 

Indeks Penggunaan Elektrik Bitcoin oleh Universiti Cambridge menganggarkan penggunaan tenaga Bitcoin adalah hampir setara dengan penggunaan di negara Finland. Bagaimanapun, situasi sebenar yang berlaku harus dirungkai bersama secara lebih mendalam. 

Adakah Bitcoin memberi insentif dari segi tenaga boleh diperbaharui?

Salah satu hujahan yang sering dikemukakan oleh penyokong Bitcoin adalah ia menyumbang insentif terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui dengan memberi pelbagai ilustrasi dan contoh yang melibatkan pelombong Bitcoin. Misalnya di negara Iceland yang kaya dengan kuasa hidroelektrik dan geoterma, para pelombong telah memanfaatkan sumber ini untuk menjana tenaga yang murah dan mampan. Manakala di negara El Salvador di mana Bitcoin telah diisytiharkan sebagai tender rasmi baru-baru ini, pelombong di negara berkenaan pula menggunakan tenaga berasaskan volkanik atau geoterma.

Pada ketika ini, hampir 76% daripada jumlah pelombong menggunakan campuran tenaga boleh diperbaharui. Menurut laporan daripada gergasi pembayaran Square, tinjauan mendapati sumber boleh diperbaharui lazimnya menghasilkan penawaran yang berlebihan apabila permintaan adalah rendah. Pada masa yang sama, ia mungkin berdepan dengan cabaran sukar jika permintaan semasa adalah tinggi. Mengulas lanjut laporan tersebut, terdapat beberapa langkah mitigasi yang dapat diambil dalam menangani isu ini iaitu dengan membangunkan sebuah ekosistem “di mana elemen solar/angin, bateri, dan aktiviti perlombongan Bitcoin saling berinteraksi dan berhubung kait dalam membentuk grid hijau yang berfungsi berasaskan tenaga boleh diperbaharui.”

Dalam erti kata lain, para pelombong Bitcoin dapat memanfaatkan tenaga ini dan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran. Laporan berkenaan juga mengesyorkan pembeli tenaga boleh diperbaharui sebagai pilihan terakhir memandangkan mereka “menawarkan muatan yang fleksibel dan tidak mudah diganggu di samping menyediakan pembayaran dalam pasaran global kripto yang cair, akses yang mudah dari segi lokasi serta hanya memerlukan sambungan ke internet.”

Soal mengenai pembaziran

Apabila kita membincangkan mengenai sama ada ‘Bitcoin adalah salah satu pembaziran sumber tenaga’, pertikaian yang sebenar adalah tertumpu kepada terma ‘pembaziran’. Menurut Christopher Bendiksen daripada CoinShares, aspek pembaziran ini sebenarnya bergantung kepada sama ada anda “mengiktiraf keperluan sistem kewangan yang bebas daripada pengaruh politik sebagai alternatif yang bersifat sukarela dan tersedia kepada wang berpusat yang memerlukan persetujuan dan berpotensi untuk diganggu-gugat.”

Bitcoin telah disifatkan oleh para penyokong sebagai prospek masa depan untuk menggantikan emas dan keseluruhan sistem perbankan. Dalam hal ini, ia perlu mengambil kira aspek sumber boleh diperbaharui serta implikasi terhadap persekitaran secara amnya. Berdasarkan kajian penyelidikan oleh Yassine Elmandjra, seorang penganalisis di ARKInvest, beliau membuat perbandingan di mana bank tradisional menjana sebanyak 2.34 bilion gigajoule (GJ) tenaga setiap tahun manakala perlombongan emas meliputi 500 juta GJ. Bitcoin pula menjana sebanyak 184 juta GJ tenaga.

Pautan:  “Are you going to stop accepting US Dollars next which use even more energy? https://t.co/NwlrMfjak9” / Twitter

Tawaran penyelesaian yang tuntas

Tidak dinafikan, Bitcoin menggunakan sumber tenaga dan mempunyai tanggungjawab tersendiri dari segi syer atau peratusan pelepasan karbon. Namun fungsi Bitcoin yang unik turut membuka ruang kepada prospek pengurangan jumlah penggunaan tenaga dalam tempoh jangka panjang. 

Jika anda masih meragui tentang potensi Bitcoin, anda mungkin menganggap mana-mana penggunaan tenaga daripadanya sebagai suatu pembaziran. Bagaimanapun sekiranya anda menerima hakikat bahawa Bitcoin mempunyai potensi sebagai pemangkin terhadap sistem kewangan sedia ada, maka terdapat banyak elemen yang menyokongnya termasuk dari segi ketelusan. Menerusi rangkaian Bitcoin, anda dapat mengakses semua transaksi yang berlaku dengan jauh lebih banyak anggaran tentang sejauh manakah jumlah penggunaan tenaga serta sumber tenaga tersebut berbanding dalam sektor perbankan. 

Maklumat sedemikian amat berharga kerana ini bermakna Bitcoin berpotensi untuk menjadi lebih cekap dari segi penggunaan tenaga pada masa akan datang. Proses ini sebenarnya sedang giat berlangsung termasuk gesaan oleh Elon Musk tentang peri pentingnya sektor yang menggunakan kadar tenaga yang berkurangan menerusi pembentukan jawatankuasa khas dalam menangani isu ini. Malahan pada masa kini, terdapat banyak projek berinovatif yang tercetus ke arah usaha menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap dan telus demi menjamin kelestarian dan kemampanan masa depan. 

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0