Apa itu aset?

Aset merujuk kepada mana-mana item sama ada dalam bentuk fizikal (aset ketara) atau bukan fizikal (aset tidak ketara) dan memegang nilai tertentu yang memberi manfaat kepada pemilik pada masa akan datang. Antara contoh aset ketara adalah seperti rumah, kenderaan, emas, wang dan seni manakala aset tidak ketara pula merangkumi aset seperti harta intelek, hak cipta atau perisian komputer.
Dalam konteks pelaburan kewangan, aset boleh dikategorikan dalam tiga kelas aset utama berdasarkan ciri-ciri tertentu iaitu: ekuiti (saham dan syer), hasil tetap (bon) dan tunai setara yang merupakan pelaburan jangka pendek dan boleh ditukarkan kepada tunai dengan kadar segera.
Pada masa yang sama, mata wang kripto pula dilihat sebagai kelas aset baharu yang tersendiri, di mana kebanyakan kerajaan di seluruh dunia kini berada dalam proses membangunkan kerangka kawal selia bagi melindungi mata wang kripto.