Apa itu Bitcoin Core?

Komuniti Bitcoin merangkumi ahli yang memberi sokongan kepada rangkaian Bitcoin dengan mengendalikan versi rantaian blok serta keseluruhan sejarah transaksi dalam komputer masing-masing yang dikenali sebagai nod.

Bitcoin Core merupakan program perisian yang membolehkan nod untuk beroperasi di dalam rangkaian Bitcoin. Jika rantaian blok menjadi tulang belakang rangkaian Bitcoin dan nod menjadi sebahagian daripada otaknya, maka Bitcoin Core boleh diibaratkan sebagai sistem saraf manusia.

Mana-mana individu yang memiliki komputer boleh mengendalikan nod dan elemen unik ini telah menjadikan Bitcoin sebagai mata wang tidak berpusat yang lazimnya dirujuk sebagai rangkaian rakan ke rakan (P2P).

Di sebalik keunikan perisian Bitcoin Core yang memberi ruang kepada komuniti dari segi pengendalian nod, ia turut meningkatkan keupayaan nod untuk mencipta dompet Bitcoin Core yang dimanfaatkan oleh para pembangun program untuk menguji sebarang perubahan menerusi rangkaian uji kaji (testnet) sebelum ia diimplementasi ke dalam rantaian blok Bitcoin. Pada masa yang sama, pengoperasian nod juga memberi anda hak untuk mengundi sama ada wajar untuk melaksanakan perubahan berkenaan.

Sebelum ini, terdapat segelintir individu dalam komuniti Bitcoin Cash yang mentafsirkan Bitcoin sebagai Bitcoin Core dengan harapan untuk membezakan antara Bitcoin dan Bitcoin Cash sebagai mata wang kripto yang wujud berikutan pertikaian dalam kalangan komuniti Bitcoin dan menyebabkan hard fork sehingga mewujudkan kekeliruan tentang Bitcoin Core. Yang jelas Bitcoin Core bukanlah mata wang kripto sebaliknya ia merujuk kepada perisian yang membolehkan nod untuk beroperasi di dalam rantaian blok Bitcoin.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0