Apa itu Bitcoin halving?

Salah satu ciri utama Bitcoin adalah  dari segi penawaran sebanyak 21 juta Bitcoin yang terhasil di dalam pasaran (atau ‘dilombong‘). Bagaimanapun sekiranya kesemua Bitcoin ini dilepaskan sekali gus maka ia mungkin menimbulkan pelbagai masalah. Malahan pelepasan yang terlalu pantas dengan permintaan yang statik juga berpotensi menjejaskan nilai Bitcoin mengambil kira prinsip asas dalam bidang ekonomi. 

Proses halving atau dikenali sebagai ‘halvening’ merupakan sebuah mekanisme yang bertujuan mengekalkan penawaran Bitcoin baharu pada kadar yang stabil. Kaedah ini adalah selari dengan permintaan pengguna yang semakin meningkat seperti mana yang dibayangkan oleh pengasas Bitcoin, Satoshi Nakamoto sewaktu mencetuskan idea Bitcoin yang dikenali orang ramai dengan prospek pertumbuhan Bitcoin pada masa depan. 

Menurut penjelasan Satoshi Nakamoto dalam emel: “Hakikatnya, koin baharu yang dihasilkan bererti penawaran wang terus meningkat mengikut kadar yang ditetapkan namun ia tidak semestinya membawa kepada situasi inflasi. Sekiranya penawaran wang meningkat pada kadar yang sama seperti peningkatan bilangan pengguna maka harga akan kekal stabil. Manakala jika ia tidak meningkat sepantas permintaan, keadaan ini akan menyebabkan deflasi di mana wujudnya peningkatan nilai dalam kalangan pemegang yang awal. Semua koin perlu dibahagikan dalam cara tertentu dengan kadar yang sama untuk disifatkan sebagai formula terbaik.”

Bitcoin baharu dihasilkan sebagai ganjaran kepada para pelombong setiap kali mereka menjalankan tugas pengesahan serta menambah blok transaksi ke dalam rantaian blok Bitcoin iaitu lejar yang merekodkan semua transaksi Bitcoin. Bagi memastikan kelangsungan proses ini, dalam reka bentuk Bitcoin yang diilhamkan oleh Nakamoto, suatu peraturan telah ditetapkan di mana jumlah bilangan ganjaran Bitcoin akan berkurangan sebanyak 50% setiap kali 210,000 blok baharu ditambah. Situasi ini lazimnya berlaku sekitar tempoh empat tahun sekali. 

Ganjaran asal untuk pelombong Bitcoin adalah 50 Bitcoin bagi setiap blok yang dilombong. Ganjaran ini kemudian dibahagikan kepada 25 Bitcoin pada 2012, 12.5 Bitcoin pada 2016 dan kemudiannya 6.25 Bitcoin pada bulan Mei 2020. Mekanisme sedia ada ini bermakna penawaran Bitcoin akan terus menyusut di mana 21 juta Bitcoin tidak dijangka dihasilkan sehingga suatu tempoh menjelang tahun 2140.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

1
0