Apa itu domain ENS dan mengapa Jay-Z memilikinya?

Jika anda menggunakan Twitter Kripto (CT), anda mungkin mendapati sesetengah pengguna dengan nama mereka yang diakhiri dengan .eth — ini memberi indikasi bahawa mereka memiliki domain Perkhidmatan Nama Ethereum atau Ethereum Name Service (ENS). Jadi apakah sebenarnya ENS dan dari manakah asal usulnya?
Berdasarkan rantaian blok Ethereum, nama ENS digunakan sebagai domain laman sesawang dan berfungsi sebagai singkatan untuk alamat ETH. Berbanding siri nombor dan perkataan yang panjang lebar, domain ENS membenarkan para pengguna untuk berkongsi maklumat dompet, menambah gambar avatar (seperti NFT) serta menghubungkan dengan alamat laman sesawang tradisional seperti domain .com dan .org.
Dilancarkan pada tahun 2017, domain Perkhidmatan Nama Ethereum atau ENS tercetus hasil inspirasi daripada domain perkhidmatan nama (DNS) yang muncul pada zaman pertengahan 1980 seiring dengan pembangunan jaringan sejagat (WWW). Dalam era 1980-an, penggunaan internet adalah berasaskan perkataan dan majoriti daripadanya adalah mod baca yang memerlukan arahan koding untuk dinavigasi. Pada ketika itu, ia masih belum digunakan secara meluas dengan hanya segelintar badan penyelidikan dan pihak universiti yang menggunakannya untuk rangkaian setempat. Bagi memperkukuh aspek kesalinghubungan, pihak institusi mula mengilhamkan domain .com di bawah struktur internet WWW oleh seorang pengasas bernama Tim Berners-Lee. Selepas itu, wujudlah evolusi internet yang dikenali orang ramai hari ini dengan semakin ramai pengguna menjelang pertengahan 1990-an.
Bagi sesetengah pengguna yang berjaya memperoleh nama domain istimewa, mereka sempat menyimpannya untuk tempoh beberapa tahun sebelum dijual untuk menjana keuntungan seiring dengan kepesatan internet. Misalnya, penjualan domain .com yang tertinggi menjadi milik business(dot)com yang dibeli pada harga $7.5 juta pada 1999 sebelum dijual pada harga mencecah sehingga $345 juta pada 2007 — ia sekali gus mewakili hampir 47 kali ganda hasil keuntungan.
Jay-Z membuat pembelian ENS
Menurut data daripada firma Analitik Dune, bilangan penjualan domain ENS terus mencatatkan peningkatan pada bulan ini sehingga menyebabkan berlakunya beberapa kesesakan dalam aplikasi ENS. Domain ENS dapat dilayari menerusi platform OpenSea dengan berbagai-bagai harga yang ditawarkan dan permintaan tinggi untuk nama singkatan yang lebih pendek (perkataan yang singkat bermakna lebih kurang kombinasi perkataan yang wujud).
Bukan itu sahaja, domain ENS turut menerima pengiktirafan oleh artis dan penyanyi rap terkenal seperti Jay-Z yang dilaporkan telah membeli hov.eth sebagai nama ENS beliau. Terdahulu, Jay-Z menunjukkan komitmennya seiring kepesatan teknologi ini apabila menjadi antara pemegang berprofil tinggi awal yang memiliki kripto punk NFT. Beliau yang dikenali sebagai Shawn Carter juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang teknologi membangun setelah menjadi pengasas bersama firma modal teroka (VC), Marcy Venture Partners pada 2019.
Pengumpulan ID unik turut menjadi antara trend dalam kalangan golongan berkemampuan mengambil kira nilai prestij yang mampu dimiliki oleh mereka. Contohnya, baru-baru ini terdapat trend di Dubai yang menawarkan nombor plat kenderaan seperti plat “AA8” sehingga mencecah $9.5 juta dalam sebuah pembidaan untuk kebajikan.
Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak penjualan yang memecahkan rekod untuk domain ENS terutamanya karakter yang singkat seperti berikut:
- abc.eth 90ETH
- 555.eth 55.5ETH
- 005.eth 50ETH
- 006.eth 32ETH
- 0x8.eth 25ETH
- ttt.eth 25ETH
- 025.eth 25ETH
- 008.eth 20ETH
- 2000.eth 20ETH
Komuniti Web3
Pada masa yang sama, domain ENS juga disokong oleh sebuah komuniti ekslusif yang sedang membangun. Pemegang domain dengan siri nombor antara 0-9999 misalnya telah mewujudkan kumpulan Discord yang dikenali sebagai “kelab 10K” yang menekankan betapa berprestij dan tinggi nilainya kepada para pemilik. Malahan terdapat jenama terkemuka seperti Budweiser and Puma yang mula mendapatkan nama ENS masing-masing.
Jadi, domain ENS dilihat sebagai elemen yang menghubungkan antara Web2 dan Web3 dengan melibatkan domain tradisional dalam Web3 and dunia kripto. Jika ENS dapat terus membuktikan peri penting fungsinya dalam domain Web3, besar kemungkinan alamat dompet yang panjang akan menjadi sekadar sejarah untuk memberi ruang kepada para pengguna kripto baharu dalam mengisi ruang lingkup pengetahuan seperti zaman WWW terdahulu.
Dengan pelbagai spekulasi termasuk peningkatan dari segi pelaburan VC dalam projek kripto dan konsep metaverse, domain ENS semestinya mampu menjadi pemangkin kepada syarikat-syarikat teknologi ke arah usaha membawa landskap dunia maya dalam realiti seharian.