Apa itu kontrak masa depan BTC?

Kontrak masa depan BTC atau Bitcoin futures merujuk kepada perjanjian antara pembeli dan penjual untuk membeli atau menjual BTC dengan harga yang telah dipersetujui pada tarikh yang ditetapkan. Perjanjian (kontrak) yang terbabit adalah perdagangan komoditi dan bukannya aset pendasar sebenar (Bitcoin). Situasi ini sekali gus memberi peluang kepada para pelabur dalam mata wang Bitcoin tanpa keperluan untuk memegang mata wang kripto yang sebenar.
Dalam konteks Bitcoin futures, anda sebenarnya menandatangani sebuah kontrak yang membuat spekulasi pada harga Bitcoin untuk tarikh tertentu pada masa akan datang sama ada ia akan menaik atau turun. Dalam erti kata lain, anda tidak memegang sebarang Bitcoin tetapi ia kekal di dalam platform perdagangan seperti CME dan Bakkt. Anda tidak membeli dan menjual Bitcoin secara langsung dalam perdagangan kripto dan menyimpannya di dalam dompet anda.
Kontrak ini lazimnya dilihat sebagai antara mekanisme pengurusan risiko di mana anda menganggarkan harga untuk sesuatu aset bagi tempoh tertentu. Ini membolehkan syarikat untuk melindungi nilai mereka daripada sebarang risiko yang dikaitkan dengan harga aset dan berpotensi mempengaruhi aspek perniagaan berkenaan. Sebagai contoh, syarikat perkapalan membuat unjuran mengenai harga minyak yang bakal meningkat pada tarikh tertentu. Dengan cara ini, sekiranya harga minyak naik dan kos mereka turut terjejas maka impak yang dialami oleh syarikat tersebut adalah lebih rendah.