Apa itu perdagangan berfrekuensi tinggi (HFT)?

Perdagangan berfrekuensi tinggi (HFT) merujuk kepada salah satu jenis bentuk perdagangan khas yang menggunakan program pengkomputeran iaitu robot perisian automatik ‘bot’ yang berupaya menjalankan pelbagai transaksi perdagangan secara serentak dalam hanya tempoh beberapa saat. Objektif HFT adalah untuk mengambil kesempatan terhadap pergerakan harga yang kecil dengan volum pesanan yang tinggi bagi memaksimumkan skala keuntungan. Bot dibangunkan dengan fungsi yang unik di mana ia dapat berdagang berdasarkan arahan broker seperti meletakkan pesanan apabila harga mencapai paras tertentu atau sewaktu pasaran memenuhi syarat-syarat yang berkaitan.
Firma perdagangan HFT sering melabur dalam pembangunan bot bagi memastikan mereka dapat melaksanakan pesanan yang mampu menyaingi pesaing masing-masing. Semakin pantas pesanan dapat dilaksanakan, maka semakin tinggi nilai keuntungan yang dapat dijana daripada pesanan berkenaan. Situasi ini sekali gus mewujudkan persaingan dalam kalangan firma-firma perdagangan yang cuba untuk mencipta bot dengan kelajuan pelaksanaan yang pantas dalam usaha menyingkirkan firma dengan kapasiti yang lebih kecil daripada persaingan. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa kritikan di mana ia mungkin mengundang implikasi ketidakstabilan harga aset selain mempromosi isu manipulasi pasaran.
Manakala segelintir penyokong pula berpandangan bahawa kaedah HFT mampu meningkatkan tahap kecairan pasaran serta membolehkan para pedagang kecil untuk mencari para pembeli dan penjual sesuai yang dapat mengisi pesanan berkenaan.