Apa itu perdagangan?

Istilah perdagangan dalam konteks pasaran kewangan bererti membeli sesuatu aset dengan matlamat untuk dijual pada harga yang lebih tinggi dalam usaha menjana keuntungan. Aset merangkumi pelbagai jenis produk kewangan termasuk saham, mata wang, komoditi serta mata wang kripto. Bayangkan anda membeli satu unit aset yang bernilai $10 pada hari ini dan harganya meningkat kepada $15 esok. Jika anda memutuskan untuk menjual aset berkenaan maka anda meraih keuntungan sebanyak $5. Manakala sekiranya anda mengambil risiko yang lebih dengan membeli dua unit aset, keuntungan anda bakal naik dua kali ganda. Begitu juga dengan situasi harga aset yang mungkin menurun dari segi nilai dan menyumbang kepada implikasi kerugian.
Terdapat perbezaan antara kaedah perdagangan dan pelaburan. Dalam konteks pelaburan, pembeli lazimnya berhasrat untuk memegang aset mereka bagi suatu tempoh yang lebih lama. Sebagai contoh, jika anda membeli mata wang Bitcoin pada 2018 sebelum dijual pada tahun 2022, pendekatan ini boleh disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang berbanding perdagangan. Hal ini kerana pada kebiasaannya perdagangan berlaku dalam tempoh jangka masa pendek, sama ada dalam tempoh beberapa minit, minggu atau beberapa bulan bergantung kepada objektif pedagang serta risiko yang sanggup diambil.
Para pedagang akan menggunakan indikator teknikal untuk membantu mengenal pasti hala tuju serta pergerakan harga yang berikutnya. Sebenarnya terdapat ratusan indikator yang boleh dipilih oleh pedagang, dan antara yang lazim diguna pakai dalam kehidupan harian adalah seperti analisa paras sokongan dan rintangan, petunjuk Indeks Kekuatan Relatif (RSI), pola pergerakan volum dan carta candlestick.
Jika seorang pedagang berpandangan bahawa harga dijangka menaik maka mereka akan membuat pesanan jangka panjang atau long order. Begitu juga apabila mereka mempercayai harga diunjurkan menurun, mereka akan meletakkan pesanan jangka pendek (short order). Pulangan pelaburan (ROI) mereka adalah ditentukan oleh jurang antara titik entri serta harga yang dipilih oleh mereka untuk menjual aset berkenaan.
Pedagang yang berjaya lazimnya menggunakan strategi pengurusan risiko bagi mengurangkan risiko mereka ke tahap yang minimum selain mengelakkan daripada mengambil sebarang keputusan berdasarkan emosi supaya mereka dapat melakukan keputusan pelaburan yang bijak dan rasional.