Apa itu Proof-of-History?

Secara amnya, fungsi rantaian blok direka tanpa keterlibatan pihak pengantara di mana setiap transaksi yang direkod memerlukan penyertaan peserta node yang beroperasi dalam rangkaian untuk tujuan verifikasi serta pengesahan. Dalam hal ini, tugasan mengenal pasti pihak yang menjalankan transaksi adalah mudah menerusi penggunaan kunci sulit yang menghubungkan transaksi ke suatu alamat spesifik – berbanding penentuan waktu sebenar transaksi berlaku yang jauh lebih mencabar.

Selama ini, kita mungkin dapat menentukan cap waktu atau garis masa dengan mengambil swafoto sambil memegang muka depan surat khabar di tangan. Namun dalam konteks rantaian blok, memandangkan tiada jam berpusat yang menjadi titik rujukan mahupun kebergantungan terhadap pelombong individu untuk memberi waktu sebenar aktiviti perlombongan blok yang tepat, jadi sekumpulan pembangun program telah mencetuskan idea untuk mencipta kaedah pengesahan waktu yang inovatif tanpa bergantung kepada sumber berpusat luar. 

Asalnya dicadangkan sebagai sebahagian daripada tawaran unik rantaian blok Solana dan mata wang kripto asal SOL, model proof-of-history (PoH) telah dirangka bertujuan untuk menangani isu sedemikian melalui pengekodan masa berlalu ke dalam lejar rantaian blok selain menyediakan rekod bersejarah tentang suatu acara atau peristiwa yang berlaku pada satu-satu masa.

Model ini dijalankan melalui proses yang dikenali sebagai Fungsi Verifiable Delay (VDF). Berbeza daripada elemen bukti kerja yang melibatkan proses penyelesaian teka-teki matematik oleh para pelombong dengan mencari satu solusi daripada kebarangkalian jutaan jawapan, VDF pula merangkumi beberapa tindakan susulan spesifik yang perlu diselesaikan. Dengan mengambil kira kuasa pengkomputeran pelombong yang perlu diaplikasikan dalam susuran teratur bagi menyelesaikan masalah berkenaan, ia adalah tidak mustahil untuk mengenal pasti jangka masa yang diperlukan bagi menangani VDF ditambah dengan penyediaan rekod waktu. 

Dengan gabungan model proof-of-stake (PoS), komputer dalam rangkaian Solana berupaya untuk mengendalikan pengesahan transaksi yang dapat ditambah ke dalam rantaian blok pada kadar yang pantas hasil kewujudan bukti sejarah serta membolehkan setiap transaksi untuk diberi cap masa dan diverifikasi dengan kadar segera. 

Hal ini kerana verifikasi VDF turut dijalankan pada masa yang sama sewaktu blok dilombong, dan situasi ini sekali gus dapat meningkatkan kadar transaksi dengan mengurangkan keperluan konsensus yang perlu dicapai oleh setiap komputer yang terlibat di dalam rangkaian sedia ada.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

130
7