Apa itu Proof-of-Work?

Rangkaian Bitcoin beroperasi pada rantaian blok dengan perkongsian lejar seperti mana lejar bank tradisional yang mengandungi rekod setiap transaksi Bitcoin yang telah berlaku. Tatkala kebanyakan sistem mata wang digital dibangunkan berasaskan sifatnya yang berpusat untuk memantau serta menjejaki para pengguna dan kewangan mereka, protokol konsensus yang dikenali sebagai Proof-of-Work (PoW) telah diperkenalkan bagi memastikan mata wang digital dapat terus berfungsi meskipun tanpa kewujudan sistem berpusat.

Pada masa yang sama, bukti kerja juga dilihat mampu mengatasi masalah ‘perbelanjaan berganda’ yang lazim berlaku tanpa keterlibatan pihak berkuasa berpusat. Perbelanjaan berganda sering berlaku dalam senario mata wang fizikal memandangkan anda dapat membuat salinan transaksi yang serupa dengan mudah. Jadi pengenalan bukti kerja berupaya untuk menangani isu ini dengan cara yang inovatif.

Adakah anda masih ingat ujian matematik di zaman persekolahan yang mencabar di mana anda dikehendaki untuk menunjukkan formula di sebelah jawapan anda? Seperti nama yang diberi, rangkaian ini memerlukan ‘bukti’ kerja berasaskan komputer melalui penyelesaian teka-teki matematik sebelum rantaian blok dapat dikemas kini. 

Proof-of-Work pada kebiasaannya digunakan untuk tujuan verifikasi transaksi baharu sebelum ditambah ke dalam rantaian blok di samping mencipta Bitcoin atau token lain yang baru. Asalnya digunakan oleh Bitcoin, protokol konsensus ini menggunakan kaedah melombong bagi mencapai objektifnya. Dalam hal ini, para pelombong bersaing antara satu sama lain dengan menggunakan komputer yang diubah suai khas dalam mencari jalan penyelesaian di mana pelombong yang menang berpeluang untuk mengemas kini rantaian blok dengan transaksi terkini yang diberi pengesahan sebelum menerima koin baharu sebagai ganjaran.

Mengapakah terdapat protokol konsensus yang berbeza?

Jadi persoalannya, sekiranya sistem sedia ada telah berjaya dalam memastikan supaya keselamatan rantaian blok serta para pengguna terjamin, mengapakah terdapat keperluan untuk protokol konsensus yang baru?

Seiring dengan perkembangan nilai mata wang kripto, populariti aktiviti melombong juga semakin mencuri tumpuan sebagai salah satu sumber pendapatan. Dengan pertumbuhan bilangan pelombong yang semakin bertambah, begitu juga dengan tahap kerumitan setiap masalah matematik yang perlu diselesaikan oleh komputer para pelombong turut meningkat. Dalam konteks ini, semakin sukar masalah yang dihadapi maka semakin mencabar keperluan tenaga yang diperlukan.

Proses yang berteraskan tenaga intensif ini sebenarnya mendatangkan implikasi yang berbeza. Dari satu sudut, ia dapat mengelakkan daripada campur tangan individu atau kumpulan tertentu yang cuba untuk memanipulasi rantaian blok, tetapi pada masa yang sama ia bukanlah suatu tugas yang mudah untuk mengadaptasi dalam memenuhi permintaan semua transaksi baharu dan sebagai implikasi maka lahirnya alternatif lain seperti proof-of-stake pada masa kini.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0