Apa itu risiko?

Risiko ditakrifkan sebagai kebarangkalian sesuatu berlaku yang boleh memberi kesan terhadap prestasi pelaburan atau tanggungjawab kewangan individu. Pengukuran tahap risiko adalah bergantung kepada jenis aset yang terlibat, jumlah amaun modal yang diguna pakai serta tempoh masa yang diperuntukkan oleh pelabur sebelum melakukan penjualan aset. Risiko juga boleh diaplikasikan dalam kegiatan kewangan yang lain selain aspek pelaburan, misalnya potensi kos faedah yang wujud daripada pinjaman gadai janji.

Memang tidak dinafikan setiap pelaburan membawa risikonya yang tersendiri. Sebagai contoh, pelaburan berisiko rendah merangkumi pembelian dalam dana indeks seperti FTSE 100. Indeks FTSE 100 menggabungkan prestasi semasa syarikat 100 teratas yang disenaraikan di dalam Bursa Saham London (LSE) dengan pembayaran dividen kepada para pelabur. Memandangkan kebanyakan daripadanya adalah syarikat besar maka besar kemungkinan mereka tidak akan gulung tikar, namun pada masa yang sama kadar prospek pertumbuhan syarikat terbabit juga mungkin lebih rendah berbanding syarikat baharu terutamanya dari industri yang sedang berkembang pesat. 

Pelaburan dalam syarikat berskala kecil atau mata wang kripto baharu turut membawa risiko tersendiri tatkala sedang membuktikan kemampuan masing-masing. Sungguhpun begitu, para pelabur dapat melabur atau membeli lebih banyak saham dalam syarikat sedemikian berbanding pelaburan dalam syarikat besar yang dianggap sebagai lebih “selamat”. Ini bermakna terdapat prospek pulangan pelaburan yang lebih tinggi di sebalik risiko yang wujud.

Selain itu, terdapat juga pertimbangan risiko lain dari sudut makro yang mampu mempengaruhi aspek pelaburan. Misalnya, perubahan dari segi pergolakan politik boleh menyumbang kepada kerangka kawal selia yang lebih ketat dalam industri berkenaan sehingga menjejaskan keseluruhan ekosistem industri akibat kekangan sumber dan seterusnya memberi implikasi dalam konteks pelaburan.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0