Apa maksud Sharding?

Asalnya dicipta sebagai antara pengemaskinian baharu dalam Lapisan Konsensus, mekanisme sharding telah diperkenalkan oleh para pembangun Ethereum yang membahagikan infrastruktur rantaian blok Ethereum ke dalam pecahan. Antara tujuan sharding adalah seperti memberi sokongan kepada lebih ramai pengguna, meningkatkan tahap kecekapan serta mempercepat proses verifikasi. Anda boleh bayangkan Ethereum sebagai hadiah kek yang bukan sahaja sedap untuk dimakan, lebih-lebih lagi apabila dibahagikan ke dalam beberapa pecahan yang kecil di mana lebih ramai dapat menikmatinya.
Bagaimanakah ia beroperasi?
Buat masa ini, data yang dimasukkan ke dalam rantaian blok Ethereum perlu diverifikasi oleh setiap peserta yang terlibat dalam rangkaian. Sungguhpun sistem ini terbukti berkesan, namun kadar kelajuan proses verifikasi ini sebenarnya adalah terikat mengambil kira tahap kelajuan peserta yang berbeza memandangkan setiap peserta perlu menamatkan tempoh semakan masing-masing sebelum penambahan blok dapat berlaku. Pada realitinya, ini bermakna kos yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh para pengguna dengan proses yang lebih lambat secara keseluruhan.
Dalam hal ini, sharding mampu mengatasi isu berkenaan dengan menjalankan pembahagian tugasan verifikasi antara kumpulan yang berlainan di mana setiap peserta bertanggungjawab hanya menumpukan kepada verifikasi data yang diterima oleh mereka. Melalui penggunaan kaedah ini, keseluruhan rantaian blok dapat memproses setiap pecahan transaksi secara serentak dan ia sekali gus membantu meningkatkan kapasiti serta tahap kelajuan. Untuk meletakkan dalam perspektif, apabila mekanisme sharding diguna pakai seiring dengan pengemaskinian Ethereum 2.0, ia adalah diharapkan supaya rangkaian ini berupaya untuk memproses sehingga 100,000 transaksi atau selebihnya untuk setiap saat.