Apa yang anda perlu tahu mengenai Bitcoin Halving?

Kemunculan projek Bitcoin pada asalnya diilhamkan oleh pengasas matawang Bitcoin, Satoshi Nakamoto menerusi cara yang unik di mana Bitcoin baharu yang dicipta perlu menjalani proses pembahagian atau halvening setiap empat tahun. Senario ini bakal berterusan sehingga wujudnya 21 juta Bitcoin di dalam kitaran pasaran dan Bitcoin dijangka mencapai had penawaran menjelang tahun 2140.
Bitcoin baharu dicipta setiap kali dengan pelombong yang diberi ganjaran atas sumbangan mereka bagi tujuan pengesahan transaksi dalam rantaian blok Bitcoin. Proses halving bererti ganjaran blok serta penghasilan Bitcoin baharu akan menjalani proses pembahagian setiap empat tahun. Dalam hal ini, para pelombong memperoleh ganjaran melalui fi transaksi daripada ganjaran blok.
Secara amnya, umum bersetuju bahawa objektif asal Nakamoto yang mendorong kepada matawang Bitcoin adalah sebagai tindak balas terhadap krisis kewangan yang berlaku sekitar 2008 di mana kadar inflasi telah melonjak secara ketara. Dalam konteks ini, nilai wang kertas mencatatkan penyusutan sementara harga barangan pengguna terus meningkat. Penghasilan wang kertas oleh bank berpusat turut menyumbang kepada kenaikan inflasi di mana semakin banyak nota mata wang yang wujud di dalam pasaran, maka semakin kurang nilai mata wang tersebut. Mengambil kira situasi semasa, Nakamoto telah mencetuskan perkembangan Bitcoin dengan mengehadkan jumlah pengeluaran Bitcoin di seluruh dunia agar ciri-ciri dan nilainya yang tersendiri seperti sumber yang terhad dapat dikekalkan.