Apa yang anda perlu tahu mengenai Standard Bitcoin?

 Standard Bitcoin 101

Baru-baru ini, negara El Salvador mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama yang menerima pakai mata wang Bitcoin sebagai tender rasmi. Secara tidak langsung ia menjadi kayu ukur kepada objektif asal Satoshi Nakamoto terhadap Bitcoin dan telah mendapat sokongan daripada komuniti Bitcoin sepanjang proses tersebut.

Pendekatan negara Amerika Tengah ini bermakna semenjak bulan September 2021 apabila undang-undang berkenaan mula berkuat kuasa, rakyat El Salvador  dapat menjalankan kegiatan harian dengan menggunakan Bitcoin seperti membayar cukai dan membeli barangan serta perkhidmatan. Selain itu, perundangan baharu tersebut juga memperuntukkan bahawa setiap penjual runcit perlu menerima Bitcoin sebagai mod pembayaran mereka (tertakluk kepada keupayaan teknologi sedia ada).

Sebagai ekonomi yang berasaskan dolar, dolar Amerika Syarikat terus memainkan fungsi sebagai mata wang fiat dengan meletakkan mata wang kripto Bitcoin sebagai piawaian transaksi baharu yang diguna pakai di dalam negara.

Berikut merupakan sepintas lalu mengenai asal usul standard Bitcoin dan bagaimanakah dengan evolusi perkembangan El Salvador dalam mendepani dunia baharu ini. 

Apakah asal usul standard Bitcoin?

Seperti komoditi emas atau sistem fiat, standard Bitcoin merupakan cadangan sistem kewangan yang wujud dalam teori sehingga tercetusnya perundangan di negara El Salvador yang menerima Bitcoin sebagai tender rasmi buat pertama kali dalam sejarah. 

Standard Bitcoin telah diilhamkan oleh pengasas Bitcoin, Satoshi sebelum konsep ini berkembang pada tahun 2018 oleh seorang penolong profesor dalam bidang ekonomi dari Universiti Lebanon Amerika (LAU), Dr. Saifedean Ammous. Dalam buku nukilan beliau yang bertajuk ‘The Bitcoin Standard’, Dr. Ammous menggariskan beberapa kelemahan termasuk ketidakcekapan dan kekangan yang dihadapi oleh sistem bank berpusat sedia ada dan sistem mata wang fiat di mana beliau kemudiannya mengemukakan syor untuk menyokong adaptasi Bitcoin sebagai tender rasmi. 

Apakah standard Bitcoin?

Ia merupakan alternatif secara tidak berpusat kepada bank berpusat di mana Bitcoin digunakan sebagai antara kaedah transaksi yang sah. Situasi ini merupakan suatu anjakan baharu daripada sistem mata wang fiat tradisional apabila Bitcoin diterima pakai sebagai antara mata wang yang membolehkan anda untuk membayar cukai, menerima pinjaman kediaman atau dibayar gaji dalam bentuk Bitcoin. Mata wang Bitcoin secara tidak langsung menjadi alternatif yang lengkap kepada dolar. 

Semenjak langkah yang diambil oleh El Salvador, negara-negara membangun seperti Mexico, Argentina, Paraguay, Brazil dan Panama turut memberi bayangan untuk mengikut jejak negara El Salvador. Dorongan daripada kesemua negara ini kemudiannya dikenali sebagai ‘kesan El Salvador’.

Apa kata El Salvador?

Pautan: “The 21st century global monetary solution is a digital currency (USD) serving as a medium of exchange backed by a digital asset (BTC) serving as a store of value, with #Bitcoin as the final settlement network and #Lightning as the transaction network. El Salvador is the model.” 

Saban tahun El Salvador terus disifatkan sebagai pro-kegiatan Bitcoin di laman sendiri. Misalnya di bandar persisiran pantai El Zonte, sebilangan perniagaan tempatan telah mengadaptasi BTC sebagai pembayaran dalam sebahagian daripada projek Bitcoin Beach. Presiden El Salvador, Nayib Bukele turut menyambut baik projek ini sebagai inspirasi terutamanya terhadap cadangan perundangan kawal selia Bitcoin.

Bukele berpandangan bahawa Bitcoin “bakal menjana peluang pekerjaan dan memperkukuh aspek kewangan yang inklusif kepada ribuan komuniti setempat yang berada di luar sektor ekonomi formal.” Pada masa yang sama, beliau turut memberi komitmen untuk menangani isu pembayaran kiriman yang mahal daripada rakyat El Salvador yang menetap di negara lain dan meliputi hampir satu per lima daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Dalam hal ini, ahli pakar telah menekankan aspek revolusi dalam konteks rantaian blok yang mendasari Bitcoin serta mata wang yang lain khususnya dalam memudah cara pembayaran rentas sempadan. 

Bagaimanakah ia berlaku?

Selain daripada “semua agen ekonomi” yang menerima BTC sebagai kaedah pembayaran, kerajaan El Salvador turut memberi jaminan pertukaran Bitcoin kepada dolar untuk mana-mana transaksi dengan menggunakan dana amanah sebanyak $150 juta yang dihasilkan oleh bank pembangunan Bandesal El Salvador.

Terdapat segelintir pihak pula membangkitkan isu mengenai kemeruapan atau ketidaktentuan Bitcoin, manakala pakar ekonomi dan ahli sejarahwan George Selgin berpandangan bahawa klausa tertentu dalam perundangan yang bersifat memberi tekanan kepada peniaga dan syarikat El Salvador untuk menerima Bitcoin sebagai mod pembayaran. Kesemua pertimbangan ini harus diperhalusi dalam dunia nyata dalam tempoh beberapa bulan atau tahun akan datang ke arah membangunkan sistem sedia ada yang kukuh. 

Yang pasti, kerajaan El Salvador telah mengambil pendekatan yang berani dengan potensi yang besar terutamanya dalam menerajui pemerkasaan mata wang Bitcoin. Jadi perkembangan seperti ini adalah menarik untuk diikuti bersama oleh komuniti kripto.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0