Apakah maksud dompet tanda tangan pelbagai (Multisig)?

Apabila anda menghantar Bitcoin, realitinya ia tidak bergerak antara alamat yang berbeza. Sebaliknya, Bitcoin disimpan dalam kubah atau tempat penyimpanan digital yang terus kekal meskipun pemiliknya berubah-ubah. Jadi, ini bererti apa yang sedang anda lakukan sebenarnya adalah menukar kunci untuk menyesuaikan dan dipadankan dengan kunci para penerima berbanding kunci yang anda miliki.

Dompet mata wang kripto secara amnya memerlukan sekurang-kurangnya satu atau lebih daripada satu tanda tangan (atau ‘kunci’ seperti contoh di atas) untuk mendapatkan akses, menandatangani serta membuat penghantaran transaksi kripto. Jika lebih daripada satu tanda tangan diperlukan, maka ia dikenali sebagai Dompet bersifat tanda tangan pelbagai (Multisig). Manakala Dompet dengan hanya satu tanda tangan pula dikenali sebagai dompet Monosig.

Dompet tanda tangan pelbagai (Multisig) dianggap lebih selamat berbanding dompet satu tanda tangan (Monosig) memandangkan Multisig memerlukan lebih banyak tanda tangan atau kunci sebelum dapat digunakan. 

Dompet jenis Multisig lazimnya digunakan apabila nilai koin yang dipegang adalah tinggi atau situasi di mana akses kepada koin tersebut perlu dikawal rapi bagi memastikan keselamatan yang optimum. Namun, dompet Multisig juga boleh digunakan dalam kehidupan harian, misalnya apabila sebuah pasangan ingin membuka dompet kripto secara bersama.

Konfigurasi dompet memerlukan sama ada salah satu daripada dua tanda tangan (1 daripada 2), atau dua daripada dua, tiga daripada lima atau kombinasi yang lain. Contohnya, dompet Multisig dalam bentuk 7 daripada 7 mempunyai tahap keselamatan yang amat tinggi, namun proses transaksi juga menjadi lebih sulit dengan mengambil kira bilangan tanda tangan yang diperlukan. 

Multisig menerima sesetengah kritikan sebelum kemas kini Taproot dijalankan ke atas rangkaian Bitcoin kerana dompet jenis Multisig adalah mudah untuk dikenal pasti pada rantaian blok sehingga menimbulkan perhatian dan spekulasi daripada segelintir pihak. Bagaimanapun, isu ini telah dapat diatasi dengan kewujudan tanda tangan Schnorr yang membolehkan setiap dompet memiliki identiti tersendiri daripada satu sama lain. 

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

1
0