Apakah maksud ‘soft fork’?

Memang tidak dinafikan setiap orang mungkin pernah mengalami proses muat turun atau mengemaskini perisian sama ada dalam telefon pintar atau komputer riba. Begitu juga dalam konteks mata wang kripto yang sememangnya bergantung kepada sistem pengemaskinian dan penambahbaikan tersendiri bagi  meningkatkan tahap kecekapan. Namun jika dibandingkan dengan pengemaskinian dalam peranti mudah alih yang dapat dilakukan di hujung jari, proses menaik taraf aplikasi tidak berpusat adalah lebih rumit dengan tempoh yang panjang. Hal ini kerana teknologi sumber terbuka dan tidak berpusat seperti matawang kripto memerlukan konsensus daripada para pengguna dalam rangkaian tersebut sebelum sebarang perubahan dapat dilakukan.

Proses untuk mencapai konsensus bagi tujuan penambahbaikan atau pengemaskinian rangkaian ini adalah dikenali sebagai fork. Pemprosesan fork boleh dibahagikan kepada dua jenis iaiitu soft fork atau hard fork di mana ia bergantung kepada tujuan yang ingin dicapai. Bagi soft fork, ia merupakan versi perisian terkini yang serasi dengan versi rantaian blok terdahulu dan ini bererti nod rantaian yang telah dikemas kini serta nod lama masih dapat berkomunikasi antara satu sama lain. 

Dalam erti kata lain, proses soft fork diwujudkan dalam bentuk peraturan baharu yang tidak bertentangan dengan mana-mana fork terdahulu. Salah satu ilustrasi kejayaan soft fork adalah Segregated Witness(SegWit) yang telah pun berlaku pada tahun 2018. Secara ringkasnya, SegWit merupakan suatu bentuk pengemaskinian yang berupaya untuk mengubah format blok dan transaksi serta tanda tangan digital sehingga penghujung transaksi, di samping memperluas had saiz blok melebihi 1MB serta mempercepat proses pengesahan secara keseluruhan. 

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0