Apakah maksud tahap kesukaran melombong?

Bagi tujuan perlombongan Bitcoin, komputer berupaya untuk menyelesaikan soalan kriptografik dalam memproses dan mengesahkan blok atau transaksi. Walau bagaimanapun seperti yang diberi penekanan oleh Satoshi Nakamoto pada tahun 2008, keupayaan peranti komputer dan kuasa pemprosesan menjadi semakin canggih saban hari. Jadi bagi mengatasi masalah ini, terdapat beberapa batasan tertentu yang timbul terutamanya mengenai kekerapan setiap blok yang dilombong.
Apabila pelombong baharu menyertai rangkaian Bitcoin, mereka dikehendaki untuk mengenal pasti rantaian mana yang sah dalam suatu rangkaian. Rantaian yang paling panjang dengan penambahan blok yang banyak dianggap sebagai rantaian paling sah. Bagi mengelakkan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan komputer yang lebih canggih untuk menambah blok sehingga mengkompromi atau menjejaskan rantaian, tahap kesukaran melombong digunakan untuk menentukan had bilangan blok yang boleh diproses.
Blok dilombong setiap 10 minit secara purata dan selepas dua minggu, kira-kira 2,016 blok dapat dilombong. Rangkaian tersebut akan menilai tempoh masa yang diambil and mengubah suai tahap kesukaran bagi memastikan supaya garis masa dapat dikekalkan. Sekiranya terdapat lebih ramai pelombong yang menyertai rangkaian dalam tempoh dua minggu sehingga menyebabkan peningkatan kuasa pengkomputeran dalam rangkaian serta pengurangan tempoh pengesahan blok, maka tahap kesukaran melombong akan ditingkatkan. Pada masa yang sama, jika terdapat pengurangan dari segi bilangan pelombong, tahap kesukaran pula akan berkurangan untuk memastikan bilangan blok yang mencukupi dapat disahkan dalam tempoh tersebut.