Apakah yang menjadikan Bitcoin berharga?

Agak rumit untuk cuba menggabungkan faktor-faktor yang menentukan nilai sesuatu. Pelabur sering melihat kepada nilai yang wujud, atau nilai asas dalam syarikat apabila memutuskan saham yang hendak dibeli. Namun, komoditi seperti emas dan berlian mempunyai nilai yang tinggi disebabkan oleh kekurangannya dan hakikat bahawa bekalannya terhad. Faktor-faktor ini secara amnya mendorong permintaan, tetapi pada masa yang sama permintaan itu sendiri turut menyumbang kepada nilai sesuatu barang. Semakin popular sesuatu barang, semakin ramai orang yang ingin memilikinya.

Menurut hukum bekalan dan permintaan, semakin tinggi permintaan dan semakin kurang bekalan sesuatu, semakin tinggi harga barang itu akan jadi. Begitu juga sebaliknya.

Permintaan  

Antara November 2011, apabila Bitcoin dicipta, dan November 2021, bilangan pengguna dompet Bitcoin meningkat daripada 0 kepada 79 juta. Memandangkan penggunaan Bitcoin semakin meningkat, begitu juga permintaan terhadap matawang itu. Ingat, apabila sesuatu menjadi lebih popular, permintaan untuknya akan meningkat. Semasa tahun 2020 dan 2021, pelabur institusi seperti bank pelaburan, dan juga negara mula melabur dalam Bitcoin. Sebelum menunjukkan minat terhadap Bitcoin, pemain institusi ini secara lazimnya lebih suka meletakkan wang mereka dalam instrumen pelaburan tradisional seperti bon, emas atau ekuiti dalam pasaran saham. Peningkatan permintaan daripada orang awam dan pelabur institusi telah membawa kepada permintaan yang tidak pernah berlaku untuk Bitcoin. 

Nilai perkhidmatan

Di sebalik nilai harga sebenar Bitcoin, apakah nilai tersembunyi mata wang kripto terkemuka itu? Nilai intrinsik, atau nilai asas sesebuah syarikat dikira oleh penganalisis kewangan menggunakan suatu formula matematik, dan ramai yang berpendapat bahawa formula ini tidak terpakai kepada Bitcoin. Hal ini kerana Bitcoin tidak memenuhi kriteria pelaburan tradisional. Namun, memandangkan nilai intrinsik berkait rapat dengan perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh sesebuah syarikat, mari kita pertimbangkan perkhidmatan yang boleh diberikan oleh Bitcoin.

Terdapat banyak pendapat tentang ini, tetapi salah satu pandangan asas ialah potensinya sebagai kaedah pembayaran alternatif kepada sistem semasa yang kita gunakan untuk berurus niaga dalam kehidupan seharian kita. Dalam erti kata lain, Bitcoin boleh berfungsi sebagai alternatif yang berdaya maju kepada jenis wang yang anda gunakan untuk membayar cukai dan membeli sesuatu daripada pasar raya. Keadaan ini sudah pun berlaku dengan meluas. 

Sistem monetari semasa, yang dikenali sebagai sistem fiat, dianggap oleh ramai orang sebagai sistem yang ketinggalan zaman dan tidak selaras dengan rentak evolusi teknologi semasa. Sebagai contoh, penghantaran wang masih menelan kos yang tinggi dan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, lebih-lebih lagi dalam kes transaksi yang merentas sempadan negara. Bitcoin ialah rangkaian rakan ke rakan dan tanpa sempadan, dan ini bermakna bahawa matawang ini menghapuskan keperluan untuk orang tengah seperti bank dan institusi kewangan yang lain, yang sudah lazim digunakan untuk menghantar dan menerima wang. Keadaan ini bermakna pemindahan wang menjadi lebih pantas dan lebih murah. Pada masa yang sama, Bitcoin membolehkan mereka yang tidak mempunyai akaun bank untuk menghantar dan menerima wang. 

Terdapat pelbagai ciri lain Bitcoin yang menaikkan nilai tersembunyinya, termasuk potensi rantaian blok, iaitu rangka kerja yang mana wujudnya Bitcoin. 

Kekurangan 

Hukum bekalan dan permintaan juga terpakai kepada matawang. Semakin banyak wang dalam edaran, semakin rendah nilai matawang tertentu itu. Pengasas Bitcoin, iaitu Satoshi Nakomoto, terutamanya ingin menangani isu ini apabila dia mencipta Bitcoin. Cara dia melakukannya adalah dengan menulis arahan dalam kod Bitcoin yang menyatakan bahawa tiada syiling baharu akan dibuat apabila 21 juta Bitcoin sudah berada dalam edaran. Perkara ini dijangka berlaku sekitar tahun 2140. Arahan ini menjadikan Bitcoin menarik kerana matawang ini boleh mengalami deflasi. Berbeza pula dengan matawang tradisional lain yang boleh mengalami inflasi. Ini bermakna nilainya akan menurun dari semasa ke semasa apabila lebih banyak nota wang dicetak dan dimasukkan ke dalam edaran. Pada tahun 2022, kira-kira 19 juta Bitcoin telah berada dalam edaran, dan kini hanya tinggal dua juta lagi untuk dilombong. Matawang kripto terkemuka ini akan menjadi semakin terhad pada masa hadapan. Boleh dikatakan, kekurangan yang semakin meningkat ini akan meningkatkan lagi nilai Bitcoin.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

132
8