Bagaimanakah matawang kripto berfungsi?

Matawang kripto merupakan matawang digital atau maya yang beroperasi secara berasingan berbanding sistem kewangan tradisional sedia ada yang biasa diguna pakai dalam kehidupan seharian. Antara ciri utama matawang kripto adalah ia bersifat tidak berpusat, di mana matawang kripto tidak terletak di bawah kawal selia agensi berpusat seperti bank atau institusi kewangan yang lain.
Sebaliknya, matawang digital ini didagangkan dalam rangkaian peer-to-peer (P2P) yang dilindungi oleh sistem kriptografik di mana setiap transaksi direkodkan dalam lejar awam melalui penggunaan teknologi rantaian blok.
Walaupun data-data transaksi berkenaan dapat diakses oleh mana-mana pihak, namun penghantar dan penerima matawang kripto sebenarnya tidak diketahui secara umum. Dengan cara ini, semua transaksi dapat disahkan secara berasingan dan langkah ini adalah penting bagi mengelakkan daripada berlakunya penipuan ataupun perbelanjaan berganda di samping memastikan nama individu yang menjalankan transaksi dalam rangkaian tersebut tidak diketahui.
Bagaimanakah matawang kripto dicipta?
Untuk mendekati asal usul penciptaan matawang kripto, anda harus memahami teknologi di sebalik kewujudannya terlebih dahulu iaitu rantaian blok. Seperti mana nama yang diberi, rantaian blok secara dasarnya mengandungi sebilangan blok yang membentuk lejar digital untuk merekodkan setiap transaksi yang telah berlaku mirip bank tradisional.
Setiap transaksi rantaian blok disahkan oleh peserta yang disambungkan kepada rangkaian rantaian blok. Mana-mana blok baharu yang ditambah ke dalam rantaian pula perlu diberi pengesahan melalui cara yang sama bagi mengelakkan daripada sebarang elemen pemalsuan.
Walaupun proses pengesahan blok baru bagi rantaian blok yang berlainan mempunyai persamaan, namun kaedah insentif dan cara verifikasi adalah berbeza yang dikenali sebagai protokol konsensus. Secara amnya, langkah ini merujuk kepada proses di mana para peserta yang terlibat disambungkan kepada rangkaian melalui peralatan komputer masing-masing dan mereka memberi persetujuan secara kolektif tentang kesahihan setiap set transaksi dan bagaimana ia kemudiannya dimasukkan ke dalam rantaian melalui proses perlombongan. Antara protokol konsensus yang terkenal adalah seperti proof-of-work (PoW) dan proof-of-stake (PoS).
Dari kalangan ribuan matawang kripto yang wujud pada hari ini, matawang kripto Bitcoin dianggap sebagai antara yang paling popular dan bernilai. Bitcoin yang diasaskan pada tahun 2008 melalui penghasilan kertas putih yang diilhamkan oleh seorang individu atau sekumpulan manusia dengan nama samaran yang dikenali sebagai Satoshi Nakamoto.