Bitcoin sebagai sistem pembayaran

Bagaimanakah kita memindahkan wang beribu-ribu tahun dahulu, sedangkan kita semua masih tinggal di kampung-kampung kecil, serta mengenali dan mempercayai antara satu sama lain? Kita hanya bertukar-tukar barang antara satu sama lain, seperti yang kita masih lakukan dengan wang tunai hari ini. Namun, apabila wang dipindahkan dalam talian, keadaan menjadi sedikit rumit, dan cara bank dan sistem kad kredit menangani kerumitan ini adalah dengan mencipta ‘sistem lejar’ – iaitu rekod akaun yang menunjukkan pemilikan seseorang.

Contohnya, jika John ingin memindahkan $100 kepada Sarah dalam talian, bank yang akan memindahkan wang tersebut. John tidak boleh melakukannya sendiri kerana ada risiko dia mungkin menipu – dia boleh menyalin dan menampal wang digital tersebut (ia hanya nombor pada komputer semata-mata) dan menghantar $100 kepada dua orang yang berbeza; sesiapa pun tidak akan tahu. Sebaliknya, kita mempercayai bank untuk menghantar wang dan memastikan wang tersebut hanya dihantar kepada seorang penerima. Bank juga boleh menipu, tetapi kita meletakkan kepercayaan kepadanya.

Pemindahan adalah lebih mudah antara dua akaun di bank yang sama, tetapi jika pemindahan wang adalah antara dua bank yang berbeza, urusan itu menjadi lebih rumit. Kedua-dua bank tersebut mungkin mempunyai sistem lejar yang berbeza, yang perlu diselaraskan. Untuk proses ini, bayaran akan dikenakan, dan selalunya pemindahan sebegini akan memakan masa yang lebih lama. Jika pemindahan melibatkan bank atau sistem kewangan lain di negara asing, urusan akan menjadi lebih rumit lagi: bahasa, sistem dan matawang yang berbeza, lebih banyak pihak yang berhubung dan sebagainya. Bayaran dan masa pemindahan biasanya akan meningkat. Sebab itulah sistem kewangan semasa sangat kompleks. Ia hanyalah jalinan besar, yang merangkumi pelbagai jenis sistem lejar di seluruh dunia.

Bitcoin mengubah semua ini. Bagaimana? Ia hanyalah satu sistem lejar global yang menyegerakkan di seluruh Internet, supaya semua orang boleh mengakses akaun lejar yang sama dalam masa nyata, tidak kira siapa atau di mana mereka berada. Kesannya? Wang boleh dipindahkan antara pihak-pihak dengan mudah, dengan agak pantas, dan tanpa bayaran yang terlalu tinggi. Sama seperti dahulu, sebelum dunia menjadi besar dan rumit.

Untuk apakah orang menggunakan Bitcoin sebagai sistem pembayaran? Semua perkara yang dapat dilakukan dengan wang biasa: menghantar kepada rakan dan keluarga – sama ada di dalam atau luar negara, membeli barang dalam talian, menerima gaji untuk kerja yang dilakukan dan sebagainya.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

2
0