Bolehkah saya beli separuh Bitcoin?

Terdapat tanggapan umum yang kurang tepat bahawa anda perlu membeli satu Bitcoin yang lengkap untuk memilikinya. Hakikatnya anda sebenarnya hanya perlu membeli sebahagian daripada keseluruhan Bitcoin. Bayangkan sebuah pizza di mana anda boleh membeli sama ada satu, dua atau lima set mengikut keinginan masing-masing. Tetapi pada masa yang sama anda juga boleh memilih untuk membeli hanya sekeping pizza jika anda berasa tidak lapar.
Unit pengukuran Bitcoin mematuhi piawaian Sistem Unit Antarabangsa (SI) iaitu sistem metrik yang telah menjadi kayu ukur di peringkat global selama beberapa abad. Unit yang paling lazim digunakan adalah “Bitcoin” walaupun ia juga boleh dirujuk sebagai bit, satoshi atau dengan gelaran yang lain. Ringkasnya Bitcoin adalah seperti mana-mana mata wang yang lain. Sebagai contoh, mata wang Pound Sterling boleh dipecahkan kepada pence sementara dolar Amerika Syarikat dan mata wang Euro dibahagikan kepada sen. Manakala satu Bitcoin pula boleh dipecahkan kepada 1,000 milibitcoin (mBTC), 1,000,000 mikrobitcoin (μBTC) atau 100,000,000 satoshi. Buat masa ini, kebanyakan platform perdagangan Bitcoin termasuk Luno hanya menggunakan Bitcoin sebagai unit pengukuran, misalnya 1 BTC, 0.0023 BTC dan sebagainya.
Platform perdagangan membolehkan anda untuk membeli mata wang kripto dengan amaun yang spesifik dalam mata wang tempatan anda. Jadi jika anda ingin membelanjakan $1000 dan harga Bitcoin ketika itu adalah $10,000, maka anda akan memiliki 0.1 Bitcoin atau bersamaan dengan 10 juta satoshi. Selain itu, anda juga boleh membeli amaun tertentu bagi mana-mana mata wang kripto yang diingini dan anda perlu membayar amaun tertentu dalam mata wang tempatan.
Saban tahun, harga Bitcoin terus mencatatkan peningkatan. Mengambil kira nilai Bitcoin yang kian meningkat, semakin ramai pengguna kripto mula menggunakan unit mata wang yang lebih kecil untuk kegunaan transaksi harian dengan pecahan kepada unit kecil dan keadaan ini secara tidak langsung merancakkan fungsi penggunaan Bitcoin. Jika dahulu seorang individu mungkin memerlukan ratusan atau ribuan Bitcoin untuk satu transaksi, kini ia dapat diguna pakai dalam pecahan yang kecil.