Dari mana datangnya Bitcoin Cash?

Idea matawang Bitcoin Cash dicetuskan dalam usaha mendokong Bitcoin ke arah menjadi medium pertukaran daripada sekadar medium pelaburan. Susulan konsensus yang tidak tercapai dalam kalangan komuniti Bitcoin mengenai kebolehskalaan Bitcoin serta pecahan rantaian blok, maka lahirnya pembangunan Bitcoin Cash.

Tahun 2017 telah menarik minat orang ramai terutamanya dalam bidang kripto sehingga menyebabkan rangkaian Bitcoin menjadi sesak berikutan permintaan yang semakin meningkat. Ia turut mengakibatkan tunggakan transaksi dan peningkatan kadar fi yang menyebabkan Bitcoin menjadi kurang sesuai untuk digunakan bagi transaksi harian. 

Keadaan ini telah mendorong kepada berlakunya pelbagai perbincangan serta perbezaan pendapat mengenai isu skala.

Debat mengenai isu kebolehskalaan Bitcoin

Sebahagian daripada komuniti Bitcoin telah menyuarakan hasrat untuk mengekalkan saiz blok Bitcoin sedia ada pada 1 Megabit (1MB) dan menganggap Segwit (Segregated Witness) sebagai penyelesaian jangka panjang. Manakala sebahagian komuniti lain yang terdiri daripada pelombong Bitcoin dan penggerak komuniti seperti Roger Ver pula mencadangkan agar saiz blok ditingkatkan kepada 8MB bagi membolehkan lebih banyak transaksi untuk diproses bagi setiap blok. 

Kedua-dua kumpulan ini akhirnya tidak dapat mencapai konsensus yang diingini dan seterusnya terpisah dengan proses hard fork.

Hard fork dalam konteks Bitcoin Cash

Pada 1 Ogos 2017, hard fork telah melahirkan matawang kripto baharu iaitu Bitcoin Cash.

Semenjak daripada itu, transaksi Bitcoin Cash terus direkodkan dalam rantaian blok mereka yang terpisah. Proses fork pada asalnya meningkatkan saiz blok daripada 1MB kepada 8MB sebelum ia ditingkatkan lagi kepada 32MB pada bulan Mei 2018 hasil proses penambahbaikan yang dijalankan.

Komuniti Bitcoin Cash kemudiannya membangunkan teknologi baru yang menawarkan alternatif kepada Bitcoin dengan saiz blok yang lebih besar. Fokus utama mereka adalah untuk memudah cara transaksi yang berlaku secara harian pada kadar yang lebih murah dan pantas supaya ia dapat digunakan sebagai wang digital dalam kalangan orang ramai.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0