Evolusi protokol kewangan tidak berpusat

Bayangkan anda mempunyai keupayaan untuk memintas institusi kewangan tradisional bagi mendapatkan akses kepada bantuan seperti pinjaman, simpanan, insuran, pelaburan dan sebagainya.

Jangan risau kerana DeFi ada di sini!

Evolusi kewangan tidak berpusat (DeFi)  – atau lebih dikenali sebagai ‘open finance’ telah mengubah cara pemikiran dan perspektif orang ramai terhadap matawang kripto dan kegunaannya. 

Jom kita ketahui lebih lanjut mengenai DeFi.

Apakah erti DeFi?

Protokol kewangan tidak berpusat secara ringkasnya merujuk kepada sistem kewangan baharu yang dibina berasaskan rantaian blok awam. Ia merupakan sebuah ekosistem yang merangkumi pelbagai aplikasi untuk memudah cara perkhidmatan kewangan tanpa perlu memohon kebenaran.

Protokol DeFi juga boleh disifatkan sebagai suatu lapisan aplikasi yang beroperasi dalam rantaian blok.

Ether and Bitcoin adalah matawang kripto manakala aplikasi DeFi pula dibangunkan menerusi rangkaian sumber terbuka yang  komprehensif. Langkah ini membolehkan seseorang individu untuk membina aplikasi perkhidmatan kewangan tanpa penglibatan institusi berpusat seperti pihak bank. 

Aspek kewangan tidak berpusat (decentralisation) adalah penting kerana dengan rangkaian tidak berpusat, terdapat rekod kewangan yang kemudiannya dapat diterapkan ke dalam rantaian blok awam bagi mengelakkan daripada situasi yang boleh menimbulkan titik kegagalan. Menerusi reka bentuk yang tersendiri, perkhidmatan ini tidak memerlukan kebenaran atau dalam erti kata lain, mana-mana individu boleh mengakses perkhidmatan tersebut tanpa mengira latar belakang dan kedudukan kewangan. 

Berbeza daripada kawalan bank yang mempunyai akses kepada perkhidmatan serta bidang kuasa untuk menghalang atau menutup akaun pelanggan, rantaian blok ini adalah kalis penapisan.

Apakah DApp?

Aplikasi tidak berpusat (DApp) merupakan sebuah aplikasi yang dibangunkan berpandukan teknologi tidak berpusat berbeza daripada entiti atau syarikat tunggal dan berpusat. DApp menjadi sumber dan kegunaan orang ramai untuk mengakses produk serta perkhidmatan di bawah DeFi.

Aplikasi DApp beroperasi sebagai gerbang kepada sistem baharu. Sama ada anda ingin membuat memberi pinjaman kripto yang dimiliki atau meminjamnya,  anda memerlukan aplikasi ini. Peranan DApp dalam konteks DeFi adalah ibarat fungsi internet explorer untuk rangkaian internet. Selain itu, terdapat juga aplikasi DeFi lain yang membolehkan anda untuk membina stablecoin, berdagang aset atau melaksanakan strategi pelaburan dengan bantuan automasi yang canggih. Jadi ia merupakan peluang keemasan tatkala DApp yang baru dan inovatif akan terus dibangunkan dari semasa ke semasa.

DeFi untuk pinjaman

Kajian mendapati terdapat sekitar 1.7 bilion dewasa yang tidak mempunyai akses kepada perbankan di seluruh dunia. Ini bermakna ia adalah mustahil untuk golongan terbabit membuat pinjaman secara sah dengan ketiadaan sejarah kredit yang turut memberi kesan kepada peluang serta taraf kehidupan seseorang individu. Situasi seperti ini boleh mengakibatkan peningkatan pinjaman tidak berlesen.

Sehingga kini, sektor terbesar bagi aplikasi tidak berpusat adalah sektor berkaitan pinjaman dan memberikan pinjaman. Platform DeFi mampu menggabungkan para peminjam dan pihak yang memberikan pinjaman secara langsung tanpa perlu membuat semakan kredit dan membenarkan aset digital untuk diberi kolateral. Pinjaman berbentuk kolateral bermaksud peminjam perlu membuat kolateral bercagar berdasarkan nilai tertentu yang melebihi amaun yang dipinjam. Dalam konteks ini, kolateral berfungsi sebagai perlindungan untuk memastikan supaya pinjaman dapat dibayar balik sekiranya seseorang peminjam gagal melunaskan hutangnya.

Sebagai contoh, apabila anda meminjam Bitcoin (BTC) bernilai $100, anda dikehendaki untuk membuat kolateral bercagar dengan amaun yang melebihi $100 dalam aset yang lain. Jika anda memilih untuk membuat kolateral bercagar pada kadar $150 Ethereum (ETH) dan anda tidak dapat menyelesaikan hutang tersebut, maka pihak yang memberi pinjaman sebanyak $100 BTC itu berhak untuk merampas ETH tersebut pada nilai yang lebih tinggi. Keadaan ini dapat memberi mitigasi terhadap risiko peminjam jika tidak dapat membayar semula amaun yang dipinjam akibat kerugian yang ditanggung. 

Selain itu, ia juga mengambil kira ketidaktentuan pasaran kripto di mana harga BTC and ETH kerap berubah. Misalnya, dalam keadaan di mana harga ETH jatuh dan kolateral anda hanya bernilai $90, maka pihak yang meminjam tidak akan dapat amaun tersebut semula dengan merampas ETH anda memandangkan ia nilainya kini kurang daripada amaun yang dipinjam. 

Senario ini membawa kepada likuidasi di mana pinjaman anda akan digunakan untuk menjual kolateral bagi tujuan pembelian balik aset yang dihutang kepada pihak yang memberi pinjaman. Keadaan likuidasi berlaku apabila pinjaman anda jatuh di bawah paras kolateral yang lazimnya adalah sekitar 115% – 150%.

Platform berkualiti pada rantaian blok telah dibangunkan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang diperlukan dan produk pinjaman tidak berpusat adalah terbuka kepada orang ramai serta boleh diakses di mana-mana dengan telefon pintar di mana kebanyakannya hanya memerlukan dompet Ethereum. Antara platform yang popular dan sering digunakan ialah MakerDAO dan Compound.

Produk-produk ini telah dilanggan oleh masyarakat umum di seluruh dunia dengan anggaran nilai mencecah sekurang-kurangnya $850 juta yang bercagar dalam DeFi. Permintaan ini juga kian meningkat dengan perkhabaran bahawa aplikasi Square’s Cash yang didapati mempunyai lebih ramai pengguna mudah alih berbanding bank legasi Amerika Syarikat.

Pada masa sama, ia turut memberi manfaat kepada pihak yang memberi pinjaman melalui pendapatan pasif yang dijana pada pegangan mereka hasil kadar faedah yang dibayar oleh peminjam. Langkah ini membawa relatif risiko yang rendah selain saluran kewangan yang unik tanpa bergantung kepada perkhidmatan berpusat oleh pihak ketiga. 

Bagi para pedagang yang ingin membuat pinjaman kripto untuk margin perdagangan, mereka boleh mendapatkan askes dan menggunakan leveraj yang mampu menggandakan keuntungan atau kerugian semasa berdagang atau menerusi penjualan jangka pendek. Misalnya, anda boleh meminjam stablecoin dalam bentuk DAI dan menggunakannya untuk membeli ETH yang membolehkan anda untuk membeli lebih banyak ETH daripada sebelumnya bagi mendapatkan leveraj dalam ETH.

Stablecoin

Salah satu bentuk kewangan tidak berpusat adalah stablecoin, iaitu matawang digital yang bertujuan bertindak sebagai perisai kepada pengguna daripada sebarang ketidaktentuan pasaran kripto memandangkan stablecoin ditambat pada aset-aset lain seperti emas dan dolar Amerika. 

Berikutan impak penularan pandemik Covid-19 yang mencetuskan ketidaktentuan ekonomi dunia, stablecoin menjadi semakin popular dengan rekod nilai transaksi yang mencecah $90 bilion pada suku pertama tahun 2020. Pada masa sama, stablecoin turut mencatatkan pertumbuhan melebihi 30% daripada saiz pasaran dalam tempoh yang sama. Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan stablecoin adalah peningkatan akses dan penggunaan DApps dengan antara muka yang bersifat intuitif yang sekali gus merancakkan lagi penggunaan stablecoin sehingga berjaya menembusi pasaran utama.

Stablecoin berasaskan Ethereum merangkumi hampir separuh daripada jumlah stablecoin yang wujud dalam pasaran dengan jumlah nilai keseluruhan sekitar $11.3 bilion serta mencatatkan prestasi yang agak memberangsangkan berbanding aplikasi kewangan tradisional seperti PayPal. Ini adalah hasil fungsi DeFi sebagai pemudah cara dalam aspek pertukaran nilai. Selain itu, terdapat juga spekulasi bahawa stablecoin telah mencetuskan batu loncatan di sebalik kerancakan DeFi.

Apakah tawaran DeFi?

Sebagai kewangan tidak berpusat yang tidak memerlukan kebenaran, DeFi adalah bebas daripada sebarang risiko penapisan. Ini bermakna para pengguna boleh menggunakan perkhidmatan kewangan atau produk yang difikirkan sesuai  pada bila-bila masa. Dalam erti kata lain, DeFi membawa erti kebebasan kewangan. 

Setiap individu diberi peluang sama rata di sebalik evolusi DeFi yang bersifat global. Secara tidak langsung, ia dapat membantu memacu pengagihan ekonomi global yang lebih adil dengan mengurangkan impak kewangan yang dialami terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan yang kekurangan akses perkhidmatan kewangan atau menghadapi situasi ekonomi yang tidak stabil. 

Dalam hal ini, penguasaan dalam aspek pengurusan kewangan adalah penting tidak kira di mana jua anda berada. Sebagaimana kesan polisi fiskal yang kita saksikan termasuk kemudahan kuantitif dan penyusutan nilai mata wang global, maka tidak hairanlah orang ramai memilih untuk mempelbagaikan sumber kewangan dan tidak meletakkan semua telur di dalam satu bakul.

Yang jelas, kebebasan kewangan yang sebenar melibatkan kos yang minimum untuk para pengguna. Sistem kewangan tidak berpusat bukan sahaja membawa kos overhed yang lebih rendah malahan ketelusan dan kos yang jauh lebih rendah berbanding sistem kewangan tradisional.

Risiko di sebalik manfaat

Seperti mana-mana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam pasaran, DeFi juga mempunyai risikonya yang tersendiri. Sungguhpun penggunaan kripto dalam kalangan masyarakat mula meningkat namun ia masih dianggap rendah dan terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk dipromosikan sebagai alternatif pilihan.

Memandangkan DeFi masih berada di peringkat awal, faktor seperti kecairan yang rendah berpotensi mengekang transaksi produk DeFi. Selain itu, rantaian blok awam juga mungkin tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menampung peningkatan dari segi permintaan pengguna baharu dalam aplikasi DeFi. Jadi kebolehskalaan merupakan antara isu yang sedang giat diusahakan bagi pihak Ethereum.

Pada masa sama, pihak kerajaan juga wajar meneliti keperluan untuk menyediakan kerangka undang-undang dan prosedur bagi melindungi pengguna selain menggalakkan inovasi dan proses ini mungkin akan mengambil masa yang lebih lama. Memandangkan wujudnya ruang kawal selia penggunaan kripto termasuk stablecoin serta kebimbangan terhadap sistem perbankan bayangan, maka ia penting supaya kerajaan dapat mengimbangi antara keperluan masyarakat dan keutamaan untuk menjana hasil perbankan terhadap pertumbuhan DeFi secara menyeluruh.

Bagaimanakah dengan hala tuju DeFi?

Bagi mengekalkan momentum protokol kewangan tidak berpusat, kekangan dari segi undang-undang dan prosedur perlu ditangani dengan sewajarnya. Untuk DeFi, terdapat beberapa isu lain yang mencetuskan kebimbangan seperti kesinambungan antara organisasi DeFi berbeza yang dilihat terpisah antara sama lain. Tindakan ini boleh membawa implikasi terhadap hasrat dan konsensus yang ingin dicapai. Hal ini kerana tanpa konsensus antara semua parti yang terlibat, kita bakal menyaksikan pasaran yang berpecah dan bertentangan dengan matlamat asal DeFi. 

Sehubungan itu, para pemain industri dalam bidang DeFi perlu sentiasa mengadakan perbincangan konstruktif dan berinteraksi antara satu sama lain demi memanfaatkan kemahiran dan sumber sedia ada di sebalik kerancakan DeFi sebagai alternatif kepada status quo.

Pemain industri DeFi turut perlu melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan tentang isu-isu berkaitan ekonomi semasa seperti pemain utama dalam bidang kewangan tradisional. 

Natijahnya, evolusi DeFi terus berkembang pesat dengan anjakan daripada produk kewangan tradisional kepada pasaran yang terbuka, adil dan saksama dengan penyertaan orang ramai. Kontrak pintar dan sistem pengagihan mempunyai nilai tambah yang tinggi dan pemerkasaan bidang ini dapat mengurangkan kos serta sekatan kemasukan yang lebih rendah. Langkah ini semestinya dapat meletakkan masyarakat global di landasan tepat ke arah mencapai hasrat untuk melahirkan sebuah komuniti yang inklusif dan mampan untuk semua.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0