Kebolehskalaan, kelajuan uji kaji dan kovenan: Merungkai kertas cadangan Bitcoin BIP-119

Navigasi dalam ruang kripto kadangkala mungkin menjadi suatu pengalaman yang mengelirukan terutamanya bagi pengguna baharu apabila dipenuhi dengan pelbagai sinonim dan akronim yang berbeza. Antaranya termasuk terma seperti Cadangan Penambahbaikan Bitcoin atau BIP. Sehubungan itu, Luno sentiasa komited untuk membantu anda merungkai proses ini bersama komuniti Luno yang lain. Sila teruskan membaca artikel ini untuk ketahui secara lebih lanjut mengenai BIP serta mengenal pasti faktor yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan komuniti pembangun program.

Apakah maksud BIP?

Sebelum berbincang mengenai BIP-119, jom kita pelajari apakah erti sebenar di sebalik Cadangan Penambahbaikan Bitcoin (BIP). Seperti nama yang diberi, BIP merujuk kepada kertas cadangan formal yang memberi gambaran tentang langkah penambahbaikan dari segi pengoperasian Bitcoin. Anda boleh membayangkan proses ini seperti mesyuarat majlis perbandaran tempatan di mana orang ramai diberi ruang untuk mengemukakan cadangan atau input selain melontarkan ketidakpuasan mereka mengenai sesuatu insiden. Dengan akses kepada platform seperti ini, ia adalah terpulang kepada pihak berkuasa sama ada syor tersebut akan diterima atau sebaliknya yang berada di luar jangkaan anda. 

Salah satu aspek proses BIP merangkumi sistem berasaskan tiket di mana anda dikehendaki untuk membuat permohonan bagi mendapatkan nombor BIP yang kemudiannya akan dinilai oleh seorang pengarang sebelum anda diberi nombor berkenaan. Ia seterusnya dimasukkan ke dalam tempat penyimpanan rekod di mana topik khusus akan diberi kepada setiap individu walaupun tiada jaminan dari segi implementasinya.

Apakah maksud BIP-119?

Pada asalnya dicetuskan oleh Jeremy Rubin iaitu seorang pembangun program Bitcoin Core, BIP-119 merupakan sejenis soft fork atau perubahan dari segi kod Bitcoin ke arah penggunaan kod operasi baharu (opcode). Opcode ini juga dikenali sebagai OP_CHECKTEMPLATEVERIFY (CTV) yang membenarkan implementasi perjanjian atau kovenan.

Kovenan merujuk kepada sekatan yang dikenakan dalam Bitcoin termasuk aspek perbelanjaan atau pemindahan selepas anda membuat pembelian. Sekatan seperti ini adalah mirip sekatan oleh pihak perbankan terhadap mana-mana peniaga yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan atau pemalsuan. Sebagai contoh, sebuah dompet Bitcoin mungkin mengenakan kovenan terhadap Bitcoin yang dipegang melalui senarai putih yang merangkumi alamat berkenaan. Jika dompet berkenaan ingin menghantar Bitcoin kepada dompet yang lain, dompet ini hanya boleh menghantar Bitcoin yang sama kepada alamat yang terkandung di bawah senarai putih. 

Semasa sesi Ruang Bicara Twitter yang membincangkan tentang BIP-119, Jeremy Rubin telah mengupas nama berkenaan seperti berikut:

“Proses ini disifatkan sebagai Semak-Verifikasi memandangkan ia membuat semakan terhadap syarat terlebih dahulu dan skrip akan digagalkan sekiranya tidak memenuhi syarat. Ia juga dikenali sebagai Templat kerana gabungan kombinasi ciri-ciri transaksi adalah mirip templat transaksi yang menyatakan bahawa transaksi yang sedang diproses perlu dimuktamadkan berdasarkan templat tersebut, jika tidak anda tidak dapat membelanjakan koin berkenaan.”

Jadi apakah fungsinya terhadap Bitcoin? Kovenan amat berguna terutamanya dalam membangunkan kontrak pintar dengan pelaksanaan kod sejurus selepas syarat tertentu dicapai. Dalam rangkaian Bitcoin, kontrak pintar ini boleh diguna pakai untuk melindungi dana anda daripada dicuri atau digodam di samping membantu meningkatkan kebolehskalaan rangkaian secara keseluruhan.

Kod CTV mempunyai potensi untuk memperkukuh skala Bitcoin menerusi pelaksanaan Transaksi Kesesakan Terkawal atau Congestion Controlled Transactions. Apabila lebih ramai pengguna menjalankan transaksi pada masa yang sama maka ia menjadi semakin mahal. Melalui CTV, pihak pemproses pembayaran berskala besar dapat menggabungkan semua pembayaran dalam transaksi tunggal sebagai komitmen untuk tujuan pengesahan. 

Mengapakah ia menjadi kontroversi?

Sementara syor yang dikemukakan memberi pelbagai manfaat, segelintir pihak dalam komuniti Bitcoin yang kritikal menyuarakan kebimbangan mereka tentang fungsi BIP-119 terhadap kepiawaian Bitcoin – iaitu keupayaan untuk dibezakan dari segi kualiti dengan komoditi lain yang berkaitan. Salah satu keunikan mata wang kripto adalah sifat kepiawaian Bitcoin di mana setiap Bitcoin mempunyai ciri-ciri yang serupa dalam aspek fungsi dan kualiti. 

Sungguhpun kovenan dilengkapi dengan ciri keselamatan dan kebolehskalaan, namun ia boleh mengubah sifat spesifik unit Bitcoin serta mewujudkan mata wang digital yang berlainan dari segi perbelanjaan atau tujuan penghantaran. Sebagai implikasi, pihak yang menentang perubahan ini berpandangan bahawa untuk membataskan cara anda membelanjakan Bitcoin akan menjejaskan kegunaan mata wang digital dan nilai Bitcoin dalam jangka masa panjang.

Manakala terdapat beberapa pihak dalam komuniti yang dipercayai mengalami tekanan untuk menyokong implementasi cadangan seperti yang digariskan dan ini mungkin akan memberi kesan yang serius terhadap keseluruhan nilai Bitcoin. Keupayaan untuk ‘mempercepat’ proses terlibat dalam mengambil keputusan terhadap cadangan penambahbaikan lazimnya dikenali sebagai Speedy Trial dan ia pernah digunakan sebelum ini untuk mengaktifkan pengemaskinian. Salah satu contoh adalah pengemaskinian Taproot dalam Bitcoin yang menerapkan elemen secara fleksibel dalam kontrak pintar serta keselamatan rangkaian di samping memberi tempoh selama tiga bulan kepada para pelombong untuk memberi tanda sokongan kepada pengemaskinian Taproot.

Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang mempercayai kertas cadangan ini wajar dinilai dan diperhalusi secara teliti termasuk alternatif sedia ada setelah mengambil kira semua kesan pengemaskinian terhadap Bitcoin.

Pendekatan secara berwaspada

Semasa mengimbas kertas cadangan dan masa depan Bitcoin dalam sesi ruang bicara, Rubin kemudian menekankan kepentingan aspek kebolehskalaan yang telah dipersetujui dalam konteks mata wang digital kepada seberapa banyak pengguna yang mungkin tanpa menjejaskan keseluruhan operasi sistem. 

“Dalam hal ini, fungsi seperti CTV mampu mengisi jurang […] Justeru, kami perlu mengambil pendekatan secara berhati-hati terhadap sebarang perubahan dengan langkah proaktif tanpa mengambil sikap tunggu dan lihat. Hal ini kerana suatu hari nanti ia [Bitcoin] tidak akan dapat diubah lagi dan jika tahap kebolehskalaan masih tidak mencapai tahap yang memuaskan maka orang ramai mungkin tidak dapat mengakses wang berasaskan self-sovereign,” ujar Rubin.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0