Kisah Bonnie dan Clyde versi Bitcoin

Pada tahun 2016, Ilya Lichtenstein dan Heather Morgan memulakan kisah mereka sebagai Bonnie and Clyde versi rantaian blok setelah mencuri 95,000 Bitcoin. Pada ketika itu, jumlah hasil pendapatan daripada insiden kecurian mereka mencecah nilai hampir $4.5 bilion mengambil kira harga BTC yang melonjak ketara sejurus selepas tempoh tersebut.
Bagaimanapun, segalanya berakhir pada penghujung Februari 2022 apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berjaya memanfaatkan kuasa forensik rantaian blok untuk menyelongkar kisah di sebalik penyitaan aset dana yang terbesar dalam sejarah sebelum bertindak menahan pasangan berkenaan.
Bagaimanakah seorang ahli silap mata dan penyanyi rap amatur menjadi bandit Bitcoin
Sebelum menjadi pasangan kripto yang viral di media sosial, Ilya Lichtenstein dan Heather Morgan menjalani kehidupan mereka di kawasan Iron Curtain. Asalnya dilahirkan di negara Rusia, Lichtenstein kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat sebelum menetap di pinggir bandar Chicago. Semasa peringkat awal kehidupan, Lichtenstein telah menyerlahkan potensinya sebagai bakal usahawan dalam bidang teknologi; beliau mahir dalam subjek matematik dan menjadi ketua pasukan kepada Academic Bowl – pertandingan berasaskan kuiz.
Menurut bekas rakan sekolah dan pengasas kepada platform Cameo, Steven Galanis berkata “Lichtenstein merupakan seorang pelajar yang baik dan cerdik. Ibarat remaja McLovin dalam cerita Superbad yang melakukan kesalahan jenayah.”
Menjelang tahun 2011, Lichtenstein menjadi pengasas bersama dalam platform pencarian pengguna MixRank, sebelum menjadi penasihat di SalesFolk iaitu syarikat yang diasaskan oleh pasangan beliau Heather Morgan di mana mereka bertemu. Selain sejarah karier yang menarik, tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai kehidupan peribadinya; Lichtenstein menggambarkan dirinya di platform Medium sebagai “usahawan teknologi, penjelajah dan ahli silap mata sampingan dengan nama samaran Dutch.”
Sebagai perbandingan, isteri beliau Heather Morgan sering membuat siaran mengenai hobinya dalam media sosial termasuk penglibatan karier sebagai artis rap amatur. Dilahirkan di Tehama, America Syarikat bersama 400 orang berdekatan sempadan Oregon-Idaho, Morgan telah mencuri tumpuan di bawah nama “Razzlekhan” dengan lagu popular seperti Versace Bedouin dan Turkish Martha Stewart. Selain itu, Morgan juga menggambarkan dirinya sebagai “pakar ekonomi, wartawan, penulis dan ketua pegawai eksekutif.” Di samping karier profesional, beliau turut memiliki ijazah sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti California Davis dan pernah berkunjung ke Cairo untuk bekerja sebagai graduan dalam bidang ekonomi. Morgan turut meminati kejuruteraan sosial yang merangkumi elemen psikologi antara manusia.
Situasi ini berubah pada tahun 2016 apabila Lichtenstein didapati menghilangkan diri sebelum meninggalkan syarikat yang diasaskan bersama olehnya dengan profil LinkedIn yang semakin kabur. Dua tahun kemudian, Morgan telah meninggalkan pekerjaannya di mana beliau menjelaskan dalam sebuah artikel Forbes bahawa faktor tekanan kerja menjadi antara punca beliau mengambil keputusan tersebut.
Menurut Morgan, “ia suatu situasi yang luar biasa setelah bekerja bertungkus-lumus dalam tempoh beberapa tahun yang lalu. Pada waktu itulah saya mula menceburi bidang rap.” Ketika itu pasangan tersebut turut terlibat dalam kegiatan pendapatan haram susulan serangan terhadap platform perdagangan kripto yang diasaskan di Hong Kong, Bitfinex pada tahun 2016.
Walaupun insiden serangan penggodam berkenaan belum dapat dikenali pasti dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) masih tidak menjumpai bukti yang kukuh, bagaimanapun dalam perbicaraan yang berlangsung pada 14 Februari, mahkamah mendapati Lichtenstein dan Morgan telah menerima sekurang-kurangnya 95,000 daripada 120,000 Bitcoin yang dirampas dari Bitfinex.
Mengimbas kembali perjalanan
Pada ketika itu, Bitfinex yang merupakan platform perdagangan terbesar di dunia telah mengalami ancaman keselamatan di mana lebih 2,000 transaksi telah disahkan berpindah dari akaun pengguna dan dihantar kepada sebuah dompet Bitcoin di mana semua koin berkenaan disimpan di dalam rantaian blok. Menurut penulis New York Times, Ali Watkins dan Benjamin Weiser berpandangan bahawa “insiden ini disifatkan seperti kenderaan pencuri yang diletakkan di luar bank dan dikunci semata-mata sedangkan terdapat banyak wang di dalam kenderaan.”
Kemudian pada awal tahun 2017, sebilangan kecil Bitcoin mula dipindahkan daripada dompet tersebut menerusi platform AlphaBay yang menjalankan kegiatan perdagangan mata wang serta campuran koin dalam laman web gelap. Campuran koin (atau lazimnya dikenali sebagai ‘coin tumblers’) sering digunakan bagi tujuan menyembunyikan sejarah transaksi dalam insiden pengubahan wang haram.
Melalui kaedah ini, Morgan dan Lichtenstein telah mengguna pakai identiti palsu yang bertujuan membantu mereka untuk menghantar Bitcoin yang dicuri daripada dompet digital kepada pelbagai platform perdagangan yang lain. Identiti palsu ini turut digunakan untuk membuka akaun digital baharu serta menjalankan transaksi kewangan sementara meneruskan kemasukan deposit ke dalam akaun di atas platform maya dan pasaran gelap.
Pasangan ini turut didakwa menukarkan sebilangan Bitcoin yang dicuri kepada jutaan mata wang fiat sebelum menggunakan wang tersebut untuk membeli 70 keping emas, token tidak sepiawai (NFT), kad hadiah Walmart bernilai $500 Walmart selain membuat pembelian dalam Uber dan PlayStation.
Selepas tiga tahun berlakunya insiden pengubahan haram, musim sejuk kripto mula menyurut di mana harga Bitcoin mula mencatatkan lonjakan. Pada ketika itu, Lichtenstein dan Morgan bertindak menjalankan transaksi menerusi dompet Wasabi, iaitu sebuah dompet sulit yang direka khas untuk menyembunyikan sebarang jejak di sebalik rantaian blok.
Meskipun jutaan dolar Bitcoin telah ditukarkan kepada mata wang tradisional, kira-kira 80% daripada kripto yang dicuri masih kekal di dalam dompet. Proses pengubahan mata wang kripto adalah amat mencabar dan memerlukan masa yang panjang. Situasi ini berterusan sehingga tanggal 31 Januari 2022 di mana kegiatan pasangan terbabit mula diselongkar oleh pihak berkuasa.
Faktor kegagalan
Rantaian blok sebagai peralatan forensik yang menjadi tumpuan
Para penjenayah dipercayai sering menggunakan mata wang kripto untuk tujuan pengubahan wang haram seperti jubah yang tersembunyi. Tetapi jubah yang tidak kelihatan ini berdepan suatu masalah di mana ia boleh meninggalkan tapak yang dapat dikesan.
Sebagai percubaan untuk menyembunyikan identiti, Lichtenstein dan Morgan menggunakan platform AlphaBay sebelum menjalankan ribuan transaksi yang bersifat kompleks ke dalam platform perdagangan yang lain. Namun, pasangan itu tidak menyedari AlphaBay sebenarnya disita oleh badan penguatkuasa antarabangsa yang diketuai oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Pengasas bersama syarikat analitik rantaian blok Elliptic, Tom Robinson, mempercayai bahawa “hakikatnya penyitaan AlphaBay oleh badan penguatkuasa telah menyumbang kepada kegagalan mereka [Lichtenstein dan Morgan],” terutamanya apabila pegawai penyiasat mendapat akses kepada siri log transaksi yang berlaku secara dalaman. Susulan daripada itu, badan penguatkuasa hanya perlu mencari titik pertemuan antara dompet yang saling berhubung kait dan dipadankan antara satu sama lain dengan serangan penggodam tahun 2016 serta perniagaan palsu berskala kecil atau bank akaun lain yang terlibat.
Salah satu rakan kongsi Robinson, Ari Redbord iaitu ketua bahagian perundangan dan pentadbiran kerajaan di syarikat pemula perundangan mata wang kripto, TRM Labs bersetuju bahawa sifat rantaian blok yang telus telah berjaya membantu proses siasatan secara menyeluruh.
“Para penyiasat dari badan pihak berkuasa juga bersifat telus dalam menjejaki wang yang terlibat,” menurut Redbord. “Kes ini secara tidak langsung memberi amaran kepada para penjenayah siber bahawa pihak berkuasa sentiasa komited untuk mengesan dan menyita segala dana yang hilang akibat serangan tanpa sebarang kompromi.”
Bitcoin bersifat telus
Yang jelas, Lichtenstein dan Morgan sedar dan memahami cabaran yang dihadapi mengambil kira solusi campuran koin serta jaringan transaksi yang kompleks. Sungguhpun mereka telah berusaha bertungkus-lumus, pasangan ini akhirnya tidak berjaya mencapai identiti tanpa nama yang sepenuhnya. Dalam hal ini, Chris Depow, seorang ahli penasihat kanan daripada firma analitik rantaian blok Elliptic berpandangan bahawa penjenayah sering terlepas pandang tentang tahap kesukaran pengubahan mata wang kripto.
“Tanggapan bahawa kripto adalah bersifat tanpa nama sepenuhnya boleh dipertikaikan. Apa yang dimaksudkan sebenarnya adalah pseudo-tanpa nama atau pseudonymous,” ulas Depow. “Walaupun anda tidak mempunyai rekod Kenali-Pelanggan-Anda (KYC) tetapi anda masih dapat mengakses semua alamat dompet awam yang dihubungkan dengan mana-mana transaksi serta alamat transaksi yang terlibat.
“Jika anda terus menjejaki dana berkenaan, maka anda akan dapat mengenal pasti individu terbabit dan sifat inilah yang menyumbang kepada keunikan analitik Bitcoin.”
Kerangka kawal selia mampu mengelakkan tindakan terlarang
Bagi kebanyakan penjenayah kripto, matlamat utama mereka adalah untuk menukarkan dana haram tersebut kepada mata wang konvensional antara dua platform perdagangan yang membolehkan mereka untuk memperoleh wang dolar sebagai pertukaran bagi kripto. Bagaimanapun, kewujudan kerangka kawal selia dan Akta pengubahan wang haram bermakna tindakan memindahkan Bitcoin yang bernilai berbilion-bilion ini telah mencetuskan pelbagai persoalan selain membawa risiko pembekuan akaun. Selain itu, Lichtenstein dan Morgan juga mungkin berdepan dengan masalah lain seperti dalam sekatan jalan raya jika mereka terjerumus dalam jaringan identiti yang palsu.
Pengumpulan bukti yang kukuh
Pada Januari 2022, para pegawai telah memperoleh waran pencarian untuk menjejaki akaun simpanan yang dimiliki oleh Lichtenstein. Dalam hal ini, pegawai penyiasat menjumpai senarai alamat dompet yang didapati berhubung kait dengan kata laluan. Salah satu dompet terbabit mengandungi majoriti baki 94,000 Bitcoin. Melalui penggunaan kata laluan, dana aset Lichtenstein akhirnya berjaya disita.
Tambahan pula, pegawai penyiasat turut membuat pencarian di apartmen mewah pasangan tersebut di New York dan mengumpulkan senarai barangan yang berjaya dikesan termasuk sebuah tong yang mengandungi telefon pintar dalam bag dan kad SIM di bawah katil. Sekurang-kurangnya 50 gajet elektronik, dompet digital yang digunakan untuk menyimpan mata wang kripto dan sekitar $40,000 dalam tunai beserta mata wang asing lain telah dikesan. “Pejabat Lichtenstein juga mengandungi dua buku yang mana beberapa halaman muka surat telah disunting secara tangan,” menurut pihak pendakwa raya apabila menghuraikan tentang proses pencarian yang berlaku di apartmen mereka.
Melalui keseluruhan hasil dapatan di atas, ia semestinya boleh disifatkan sebagai bukti yang kukuh dan bukan sekadar peralatan yang lazim diguna pakai oleh mana-mana ahli silap mata atau untuk kegunaan seorang penyanyi rap amatur dalam video muziknya.