Mengapa harga mata wang kripto sering berubah?

Jika anda telah berada dalam ruang matawang kripto selama ini, anda mungkin dapat memperhatikan pergerakan naik dan turun secara mendadak dari segi harga kripto yang mungkin melebihi 10%. Hal ini kerana jika dibandingkan dengan aset komoditi lain seperti emas yang telah wujud sekian lama semenjak beberapa abad sebagai instrumen pelaburan, Bitcoin dilihat masih berada dalam fasa awal pembangunan memandangkan ia hanya muncul sekitar tahun 2009.
Di peringkat global misalnya, jumlah amaun wang yang dilabur dalam emas adalah berlipat kali ganda berbanding matawang kripto yang terdedah kepada pola perubahan pembeli dan penjual serta tahap kecairan yang dinamik. Sebagai analogi, bayangkan sebuah pizza yang dibahagikan kepada empat keping dan dikongsi secara sama rata oleh empat orang kawan. Empat keping ini mewakili seluruh komposisi pasaran pizza. Jika dua kawan memutuskan untuk memulangkan pizza mereka setelah mendengar desas-desus tentang keju yang rosak, ini bermakna separuh daripada keseluruhan pasaran telah mengembalikan syer pizza dan baki dua kawan juga mungkin mengambil langkah yang sama sehingga menyebabkan keruntuhan syer pasaran. Manakala situasi ini mungkin menjadi berbeza apabila pizza tersebut dikongsi oleh 10 orang di mana hanya tiga daripada yang memulangkan pizza sementara baki tujuh lagi orang mungkin akan mengenal pasti terlebih dahulu sama ada keju dalam pizza benar-benar rosak ataupun membeli semula pizza yang telah dikembalikan.Â
Evolusi fasa awal mata wang kripto bermakna masih terdapat banyak ruang dalam usaha mendapatkan kepercayaan daripada semua pihak berkepentingan termasuk para pembeli dan penjual. Berdasarkan pengalaman silam, sentimen pasaran terutamanya dalam kalangan pelabur lazimnya mempunyai pemahaman dan tahap keyakinan yang mencukupi bahawa aset komoditi seperti emas tidak akan melesap begitu sahaja di sebalik penurunan harga yang berlaku. Bagi orang ramai, Bitcoin telah berjaya membuktikan kemampuannya yang tersendiri sungguhpun masih terdapat tanggapan berbeza daripada segelintir pihak.