Mengimbas sejarah HODL: Strategi yang teruji melangkau masa atau sekadar amalan tradisional?

Sekiranya anda pernah membuat pencarian mengenai kripto, maka kebarangkalian anda semestinya pernah mendengar istilah “HODL”. Strategi HODL merupakan antara strategi yang sering digunakan oleh para peminat mata wang kripto di seluruh dunia. Persoalannya dari manakah wujudnya asal usul istilah ini? Jom kita ketahui.
Bukan sekadar meme
Terma ini mula mencuri tumpuan orang ramai pada akhir tahun 2013 di sebuah forum maya oleh seorang pengguna bernama GameKyuubi yang melakar sejarah dengan deklarasinya yang bertajuk ‘I am HODLing’.
Semenjak daripada itu, perkongsian GameKyuubi telah dilayari sehingga mencecah 800,000 kali dan seterusnya melahirkan lingo baharu kripto “HODL”. Anda mungkin tertarik dengan penggunaan ejaan yang sepatutnya menjadi ‘Holding’, pada masa yang sama terma ini telah menjadi rujukan orang ramai terutamanya dalam strategi perdagangan.
Terma yang ikonik ini bukan sahaja berjaya mencuri tumpuan sehingga menjadi frasa popular dalam kalangan komuniti kripto hari ini, bahkan ia turut diterjemahkan sebagai acronim ‘Holding On For Dear Life’ yang membawa erti berpegang kepada aset kripto tanpa mengambil kira pergerakan semasa yang berlaku dalam sesebuah pasaran.
Yang menariknya, Bitcoin dan mata wang kripto telah mengalami tekanan harga sepanjang tempoh 2022 dengan penyusutan hampir 20% untuk harga Bitcoin, jadi adakah strategi HODL masih dianggap sebagai pilihan yang wajar?
Strategi menjangkau masa
Saban hari, kita juga dapat melihat berbagai-bagai illustrasi kejayaan HODL oleh ramai pemegang aset kripto.
Pada tahun lalu, jutawan Elon Musk, atau lebih dikenali sebagai pengasas Tesla telah menggemparkan satu dunia apabila beliau mengisytiharkan pelaburan sejumlah $1.5 bilion dalam bentuk Bitcoin ke dalam penyata imbangan Tesla. Semasa mengulangi pendiriannya mengenai kripto, Elon turut menyatakan bahawa beliau akan terus memegang portfolio kripto yang dimiliki serta menasihati para peminatnya mengenai implikasi memegang wang dolar di sebalik peningkatan inflasi.
Tidak dinafikan, HODL merupakan strategi perdagangan yang popular. Strategi ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan pendedahan kepada pergerakan turun naik jangka pendek (short-term volatility) memandangkan ia tidak memerlukan pemantauan sepanjang masa terhadap pergerakan pasaran serta mengelakkan daripada risiko ‘beli tinggi dan jual rendah’. Implikasinya HODL mempunyai potensi keuntungan bagi tempoh masa yang panjang.
Misalnya, Mohnish Pabrai, pelabur India yang menetap di Amerika Syarikat dan terkenal dengan nasihatnya mengenai strategi pelaburan yang berkesan telah menjelaskan bahawa kemahiran paling penting yang perlu dimiliki oleh seseorang pelabur adalah untuk mempunyai perasaan senang hati tanpa perlu melakukan apa-apa bagi suatu tempoh yang lama.
Walau bagaimanapun perlu diingatkan bahawa strategi HODL dalam pasaran kripto juga mempunyai risiko yang tersendiri.
Bukan tanpa halangan
Realitinya, keputusan sama ada untuk HODL atau berdagang dalam mata wang kripto terus menjadi cabaran kepada sesiapa yang ingin menceburi dunia kripto.
Walaupun terdapat segelintir pakar kewangan yang berpendapat bahawa HODL adalah respon rasional terhadap ketidaktentuan pasaran yang sukar untuk dijangka, namun faktor seperti situasi ekonomi semasa dan sifat kripto yang dinamik juga wajar diambil kira oleh para pelabur sebelum membuat keputusan.
Secara amnya, pelaburan jangka masa panjang, keuntungan tidak terpisah daripada kripto semata-mata berbanding pelaburan jangka pendek. Salah satu panduan dalam pelaburan saham adalah untuk sekadar melabur amaun yang anda sanggup rugi. Begitu juga dengan prinsip HODL.
Seorang pengguna Reddit dalam perkongsiannya pula menerangkan bahawa ia tidak realistik untuk membuat unjuran bahawa kenaikan harga akan berlaku sepanjang masa. Hal ini kerana “suatu ketika nanti, kita perlu membuat keputusan sama ada untuk mengambil keuntungan ataupun melabur semula,” ujar beliau. Bagaimanapun persoalan bilakah ia akan berlaku adalah bergantung kepada individu tersebut.