Panduan ringkas mengenai penunjuk pasaran Bitcoin
Penunjuk pasaran Bitcoin bukan sesuatu yang boleh dijangkakan seperti suatu eksperimen sains, tetapi berbaloi bagi anda untuk mengetahui nama dan cara kerja alat ini untuk mengemudi arus matawang kripto yang tidak menentu. Terdapat beratus-ratus penunjuk teknikal yang pelabur gunakan sebagai panduan, tetapi kami hanya berpegang pada penunjuk yang lebih biasa digunakan, yang tidak memerlukan ijazah dalam kewangan untuk difahami.
Indeks ketakutan dan ketamakan
Indeks Ketakutan dan Ketamakan pada asalnya dibangunkan oleh CNN Money, tetapi versi yang khusus untuk Bitcoin dicipta oleh syarikat perisian Alternative.me. Indeks ini menggunakan sentimen pelabur sebagai barometer untuk mengukur sama ada pembeli mengumpul Bitcoin dengan tamak (tamak melampau), atau mengelakkannya seolah-olah kripto ini stoking kotor dalam tong cucian (ketakutan melampau).
Apakah maksud nombor-nombornya
0-49 – Takut
50 – Neutral
51-100 – Tamak
Indeks mengumpulkan data daripada lima input setiap hari buat masa ini
- Volatiliti (25 %) – volatiliti semasa dibandingkan dengan nilai purata 30 dan 90 hari yang lalu
- Momentum/Volum Pasaran (25%) – momentum semasa dibandingkan dengan nilai purata 30 dan 90 hari yang lalu
- Media Sosial (15%) – tanda pagar daripada cerita, dan kepantasan serta bilangan interaksi yang diterima dalam jangka masa tertentu
- Penguasaan (10%) – Bahagian permodalan pasaran Bitcoin bagi keseluruhan pasaran kripto
- Trend (10%) – Data Google Trends untuk pertanyaan carian berkaitan Bitcoin, terutamanya perubahan dalam volum carian
Permodalan pasaran (modal pasaran)
Modal pasaran Bitcoin dikira dengan mendarabkan jumlah bilangan Bitcoin dalam edaran dengan harga semasa 1 Bitcoin. Pelabur melihat modal pasaran untuk mencari matawang kripto yang mempunyai kelebihan, atau untuk membandingkan kekuatan sesuatu aset berbanding aset yang lain.
Penguasaan pasaran Bitcoin
Untuk memudahkan pemahaman, katakan modal pasaran kripto ialah $100 bilion dan modal pasaran Bitcoin ialah $40 bilion. Ini bermakna penguasaan pasaran Bitcoin adalah 40%. Penguasaan pasaran ialah nilai peratusan moda pasaran Bitcoin berbanding jumlah modal pasaran kripto.
Volatiliti
Indeks volatiliti menjejak perubahan harga Bitcoin, iaitu naik dan turunnya, dalam tempoh 30 hari dan dipaparkan sebagai nilai peratusan. Indeks volatiliti lebih tepat diteliti dalam jangka masa yang panjang, tetapi penurunan dan kenaikan yang mendadak telah diterima sebagai produk sampingan industri yang masih di peringkat awal ini.
Volum Bitcoin
Penunjuk volum ialah jumlah nilai Bitcoin yang dibeli dan dijual di bursa global pada suatu masa tertentu, dipanggil volum dagangan semerta. Volum dagangan yang tinggi boleh menunjukkan bahawa harga tertentu sedang menerima sokongan dalam pasaran.
Indeks Kekuatan Relatif (RSI)
RSI mengukur keuntungan yang Bitcoin peroleh ketika harga sedang menaik berbanding kerugian semasa harganya menurun, dan diukur dalam tempoh 14 jam, hari atau minggu.
Pelabur menggunakan RSI untuk mengukur sama ada pasaran dibeli secara berlebihan (nilai 70 dan ke atas) atau dijual secara berlebihan (30 dan ke bawah), dengan bacaan yang berbeza-beza antara 0 dan 100.
Carta lilin
Penanda merah dan hijau kecil yang tersebar pada papan hitam sesuatu pertukaran digital dipanggil lilin, dan setiap satu daripadanya mengandungi pelbagai maklumat yang berguna. Lilin menyediakan data dagangan untuk suatu tempoh tertentu. Tempoh itu boleh menjadi seminit, sejam, sehari atau tempoh pilihan yang lain.
Lilin terdiri daripada badan, bayang atas dan bayang bawah – iaitu sumbu pada kedua-dua hujungnya. Badan menunjukkan harga pembukaan dan penutupan pasaran bagi tempoh yang dipilih, manakala bayang atas menunjukkan harga tertinggi yang dicapai dalam tempoh tersebut dan bayang bawah pula harga terendah; ini hanya disebut sebagai tinggi dan rendah.
Jika lilin berwarna hijau, nilai pasaran Bitcoin ditutup lebih tinggi daripada nilai pembukaannya, dan sebaliknya jika lilin berwarna merah. Lilin hijau bermula di bahagian bawah dan berakhir di bahagian atas, manakala yang sebaliknya berlaku untuk lilin merah. Hijau menunjukkan pasaran menaik manakala merah menunjukkan pasaran menurun.