Penerimaan kripto dalam industri runcit dijangka menaik pada 2022?

Pada tahun 2021, dunia boleh melihat ramai orang mula memenuhi ruang kripto. Menurut Grayscale, sebuah syarikat pelaburan matawang digital dan pengurusan aset matawang kripto, 55% dari semua pelabur Bitcoin memulakan pelaburan mereka pada tahun lepas. Jadi, adakah kita akan melihat trend yang sama pada tahun 2022?

Kami telah menjalankan sesi temubual ringkas bersama pakar kami di Luno mengenai jangkaan tahun depan.

Skala penerimaan akan lebih meluas

Bitcoin pastinya telah berubah dari pelaburan bersifat niche ke pelaburan arus utama, disebabkan oleh peningkatan terhadap penerimaannya di seluruh dunia, dan juga merentasi tahap usia. Christian Zeiler-Muñiz, Pengurus Besar Luno AS mengatakan yang “Individu berusia 50 tahun di Arkansas juga kini berminat dalam kripto. Beliau mungkin belum lagi melabur, tetapi beliau telahpun mula membaca mengenai kripto. Penerimaan semakin meluas.”

Bukti paling terbaik adalah sejarah pencarian internet. Menurut Google Trend, pencarian bagi matawang kripto mencanak naik sejak tahun lepas. Namun persoalan utama ialah; mengapa sekarang? Apa yang telah berubah?

Pertama sekali, kesedaran terhadap kripto telah meningkat sejak tahun lepas. Beberapa pemain utama kripto telah menjadikan entiti mereka lebih dikenali dalam industri kripto, seperti Michael Saylor; CEO MicroStrategy, Elon Musk; CEO Tesla dan bekas CEO Twitter; Jack Dorsey. Mereka ini telah menyumbang terhadap kesedaran kripto kepada individu-individu yang sebelum ini tidak mengetahui tentang kripto. Mereka juga telah secara tidak langsung turut memberikan kredibiliti dan kebolehpercayaan terhadap ruang kripto.

Kejayaan kripto juga turut menyumbang pada kesedaran pengguna terhadap matawang kripto. Kejayaan ini menjadikan lebih banyak kripto dilaburkan berbanding dahulu, membantu syarikat membina kempen pemasaran lebih besar dan menyebarkan lebih banyak berita mengenai kripto secara lebih meluas. Menurut Zeiler-Muñiz, “ruang kripto kini dipenuhi dengan modal daripada individu yang membelanjakan wang mereka pada penjenamaan dan pengiklanan. Impaknya baru sahaja bermula dan banyak lagi perjanjian penajaan dan kempen yang belum bermula. Apabila penajaan dan kempen-kempen ini dimulakan, ia akan memberi gelombang baru terhadap kripto pada tahun 2022.”

Penajaan kripto boleh dilihat dengan jelas dalam industri persukanan, seperti di Staples Center di Los Angeles atau FTX Arena di Miami. Juga, ramai atlet profesional mula memberi pilihan untuk menerima gaji, atau sebahagian dari gaji mereka dalam Bitcoin, termasuklah Aaron Rogers dari Green Bay Packers dan Cad Cunningham dari Detroit Pistons. Penajaan dan penglibatan atlet dalam kripto menggalakkan peminat-peminat sukan untuk belajar mengenai kripto dan memulakan langkah mereka dalam dunia kripto. Penglibatan ini juga menjadikan ruang kripto dilihat sebagai satu ruang yang ‘serius’, bukan lagi sebagai ruang untuk bermain-main.

Kerisauan terhadap COVID-19

Sebenarnya, kesedaran bukanlah satu-satunya sebab utama yang memacu perkembangan kripto. Salah satu sebab mengapa matawang kripto menjadi amat popular pada tahun 2021 adalah disebabkan oleh perubahan tahap sosial. Pengurus Besar Luno di United Kingdom, Sam Kopelman mengatakan yang pandemik COVID-19 dan program-program stimulus yang dilaksanakan di pelbagai negara seluruh dunia turut menjadikan ramai penduduk mencari jalan alternatif untuk mempelbagaikan portfolio dan mencari kaedah lain untuk melindungi simpanan mereka: “Oleh kerana kadar inflasi menaik disebabkan stimulus kewangan, lebih ramai penduduk mula meneroka matawang kripto sebagai salah satu kaedah untuk menjana dan melindungi dana mereka.

Majoriti penduduk British (48%) menyimpan wang pada akaun simpanan peribadi. Namun begitu, dengan kadar faedah yang teruk, pengguna pada tahun 2022 menjadi amat-amat teliti terhadap pulangan yang diterima, walaupun kecil. Mereka juga lebih teliti terhadap keadaan kewangan mereka lebih dari dahulu. Akhirnya, pengguna akan dipacu oleh kekecewaan terhadap institusi kewangan tradisional dan akan terus meneroka matawang kripto seperti Bitcoin untuk melawan inflasi.”

Jika kadar faedah kekal rendah pada tahun hadapan dan kadar inflasi meningkat, adakah pengguna akan mula menggunakan kripto demi keselamatan?

Lebih banyak negara yang menerima kripto?

Petunjuk paling utama dari sudut kredibiliti dalam ruang kripto adalah penerimaannya pada tahap nasional, sepertimana El Salvador menerima Bitcoin sebagai tender yang sah.

VP Produk bagi Luno; Alex Koller, walaupun El Salvador memperkenalkan Bitcoin pada September, Koller tidak beberapa yakin yang negara lain juga akan turut menjadikan Bitcoin sebagai tender sah secepat mungkin, walaupun ini merupakan permulaannya.

“Jika anda pandang pada perspektif yang lebih besar, terdapat beberapa ruang yang perlu dipenuhi. Rangkaian Lightning telah menjadikan pembayaran menggunakan Bitcoin lebih pantas dan terus. Terdapat juga syarikat seperti PayPal yang menjadikan pembayaran boleh dilakukan dengan kripto, Twitter membenarkan pengguna untuk menerima tips dalam bentuk kripto dan sebagainya. Terdapat keterujaan yang besar terhadap perkhidmatan ini, namun begitu, perkhidmatan ini masih dianggap sebagai minoriti. Saya tidak yakin yang kejayaan seperti El Salvador akan berulang lagi pada tahun hadapan.”

Pendidikan, Pendidikan, Pendidikan

Walaupun kesedaran dan kredibiliti telah menyumbang terhadap peningkatan penerimaan kripto, kekurangan pendidikan mengenai kripto dalam kalangan orang awam merupakan salah satu sebab utama mengapa matawang kripto belum lagi diterima secara besar-besaran. Kopelman percaya yang salah satu cabaran yang perlu diatasi pada tahun 2022 ialah – ilmu:

“Untuk perubahan jangka panjang dan kejayaan aset-aset baru ini, pendidikan adalah kunci utama. Pada tahun seterusnya, industri kripto perlu memberikan fokus terhadap pendidikan kripto agar pengguna lebih yakin dan percaya terhadap pelaburan mereka. Jurang ilmu perlu dirapatkan dengan memberikan pelanggan maklumat yang mudah difahami dan telus.”

Sebaik sahaja pengguna mempunyai ilmu dan keyakinan untuk memulakan langkah mereka dalam kripto, menurut Kopelman, pendidikan tidak patut berhenti di situ: “Pendidikan sepatutnya berterusan. Pengguna perlu mengetahui bagaimana untuk mengenalpasti penipuan, memahami kerisauan komuniti dan salah anggap mengenai volatiliti.”

Terus berjaya?

2021 merupakan tahun yang memberi perubahan kepada kripto. Ketua Perhubungan Pelanggan Luno; Roopa Ramaiya mengatakan yang “pasaran kripto telah matang dari ruang yang asalnya hanya dihuni oleh penerima awal, kini mula diterima dalam arus semasa. Kripto kini merupakan topik di meja makan atau pemula perbualan.”

Pada masa yang sama, Ramaiya mengatakan yang kripto akan melepasi tempoh hijau pada tahun 2022, dengan cabaran-cabaran baru untuk diatasi.

“Seperti remaja, hidup menjadi lebih kompleks bagi kripto. Janji dan hype yang dijangkakan sebelumnya mula menjadi realiti, pelabur institusi dan syarikat-syarikat besar mula mahu menyertai, tetapi ia hanya memudarkan sempadan di antara apa kripto boleh lakukan, dengan apa yang kripto tidak boleh lakukan.”

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0