Rahsia kejayaan Bitcoin: Apa terjadi kepada tunai digital yang lain?

Bitcoin cetak rekor kenaikan harga terpanjang kedua

Semenjak diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2009, isu “keruntuhan” Bitcoin telah diramalkan sebanyak hampir lebih 420 kali. Namun sehingga hari ini Bitcoin terus berkembang pesat seiring dengan keperluan pasaran semasa. Dengan persaingan hebat antara lebih 9,000 altcoin serta wang digital lain yang muncul sebelum itu, apakah rahsia di sebalik kebangkitan mata wang kripto dan bagaimana ia dapat terus kekal bersaing?

Kami ingin mengimbas kembali dan berkongsi beberapa projek wang digital terawal yang telah menyediakan kerangka dalam pembangunan mata wang Bitcoin serta membuat penilaian secara teliti tentang intipati yang terkandung di dalamnya bagi memahami kejayaan di sebalik tirai perkembangan global. 

Sebelum kemunculan Bitcoin

Bitcoin sebenarnya bukanlah wang digital yang pertama di dunia. Malahan terdapat banyak kertas cadangan yang pernah dihasilkan sebelum kemunculannya.

Antara pelopor wang digital yang paling terkenal adalah pakar kriptografi David Chaum. David yang merupakan seorang warganegara Amerika Syarikat telah menerbitkan karya bertajuk ‘Blind Signatures for Digital Payments’ pada tahun 1983.  Karya nukilan beliau ini antara lain mengesyorkan agar wang digital diwujudkan menerusi tandatangan digital yang berasaskan kriptografi. Cara ia berfungsi adalah melalui kandungan mesej yang disembunyikan atau ‘blinded’ sebelum ia ditandatangani. Jadi individu yang menandatangani dokumen tersebut tidak akan mengetahui kandungan mesej. Mesej yang telah ditandatangani kemudian berfungsi sebagai tandatangan digital yang biasa dan boleh disemak berdasarkan kandungan mesej yang asal. 

Secara amnya, teknologi tandatangan yang disembunyikan memberi kelebihan kepada para pengguna dari segi keselamatan transaksi. Chaum mempraktikkan teori ini dalam praktis pada 1989 melalui kewujudan “DigiCash”. Malangya pelancaran DigiCash hanya berlaku sejurus sebelum kemunculan e-dagang sebelum ia terpaksa memfailkan notis kebankrapan pada 1998 apabila para pembeli atas talian memilih untuk menggunakan kad kredit berbanding pilihan alternatif tanpa nama ini. 

Pada tahun 1997, ahli pakar kriptografi Britain, Adam Back mengesyorkan kertas cadangan beliau mengenai Hashcash. Asalnya dicipta sebagai kaedah perlindungan daripada spam e-mel dan serangan penafian perkhidmatan (DDoS), Hashcash menggunakan algoritma berasaskan bukti kerja (PoW) seperti yang diguna pakai oleh Bitcoin pada hari ini. Adam menerangkan terma Hashcash dalam kertas kajian beliau pada 2002 iaitu “Hashcash – A Denial of Service Counter-Measure”. Apabila dunia kripto berdepan dengan tekanan dari segi keperluan penjanaan tenaga, cadangan ini bagaimanapun tidak berjaya membuahkan hasil dan platform ini akhirnya terpaksa menghentikan operasi.

Pada 1998, seorang jurutera komputer warganegara China, Wei Dai telah menerbitkan sebuah kertas kajian mengenai konsep “B-money”. Kerangka asas bagi B-money secara dasarnya mirip mata wang digital masa kini. Wei Dai menjelaskan fungsi B-money sebagai “sebuah skim untuk sekumpulan nama samaran (pseudonym) digital yang tidak dapat dijejaki untuk membayar wang kepada satu sama lain dan memastikan kontrak mereka dapat berkuat kuasa tanpa sebarang bantuan pihak luar.” Sungguhpun b-money tidak dilancarkan secara rasmi dan hanya wujud dalam bentuk kertas cadangan, namun segala usaha Wei Dai tidak sia-sia apabila sumbangan beliau terhadap dunia kripto telah diiktiraf dalam bentuk unit kecil Ether bagi Ethereum yang dikenali sebagai “wei”.

Pada tahun yang sama, Nick Szabo, pakar sains komputer yang terkenal atas sumbangannya dalam kontrak digital dan mata wang digital telah mengemukakan cadangan “Bit Gold”. Di sebalik spekulasi tentang penglibatan Szabo dalam Bitcoin, semua cadangan ini telah dinafikan dan tulisan Szabo selepas tahun 2008 mengenai Bitcoin turut mendedahkan perbezaan antara ideologi beliau dengan pengasas Bitcoin, Satoshi Nakamoto. Szabo berpandangan bahawa Bitcoin mempunyai fungsi sebagai tempat penyimpanan nilai dan bukan sebagai medium pertukaran. Isu yang dihadapi oleh Bit Gold adalah ketidakupayaan untuk menyelesaikan perbelanjaan berganda yang wujud dalam wang digital – ia merupakan isu yang lazim berlaku dalam fasa awal wang digital sebelum berjaya diselesaikan oleh Bitcoin.

Masa membuktikan segala-galanya 

Bitcoin disifatkan sebagai wang yang dilengkapi falsafah tersendiri dan muncul pada waktu yang tepat di mana ketika itu terdapat banyak pertikaian mengenai keupayaan kerajaan serta bank pusat dalam menyimpan wang secara selamat. Menjelang tahun 2008, institusi perbankan Amerika Syarikat terpaksa memikul tanggungjawab akibat amalan negatif yang berleluasa seperti pemberian pinjaman berisiko, pinjaman gadai janji subprima serta penipuan yang berlaku dalam sistem sedia ada. Dalam usaha merombak sistem berkenaan, kerajaan kemudian bertindak menggunakan hasil pembayar cukai untuk membantu menyelamatkan bank berkenaan. Situasi ini menyebabkan ketidakpuasan dalam kalangan pelanggan dan sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta fungsi bank atas kegagalan untuk memainkan fungsi mereka secara telus.

Krisis ini dilihat tepat pada masanya mengambil kira defisit kepercayaan terhadap pihak bank, maka wujudnya keperluan untuk merombak ekosistem kewangan baharu yang mampu menawarkan alternatif kepada orang ramai tanpa bergantung kepada pihak tertentu. Ia secara langsung turut menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan masyarakat termasuk cara penggendalian wang oleh bank. 

Objektif utama Bitcoin dibangunkan adalah bertujuan untuk mengurangkan tahap kebergantungan terhadap pihak pengantara yang boleh menimbulkan defisit kepercayaan dengan ketiadaan alternatif pilihan. Dari perspektif lain, elemen kepercayaan ini juga berhubung kait dengan bidang matematik. 

Dalam hal ini, Bitcoin berfungsi untuk menggantikan sistem sedia ada daripada penyulitan mesej (encrypted) dalam blok Genesis Bitcoin dengan kenyataan seperti berikut: The Times 03/Jan/2009, Canselor sedang dalam proses menyelamatkan pihak bank untuk kali kedua. Mesej tersebut memberi isyarat kepada bekas Canselor Perbendaharaan United Kingdom, Alistair Darling dalam persediaan memperkenalkan pakej rangsangan sebanyak £500 bilion bagi membantu pihak bank di negara Britain. 

(Sumber: Blok Genesis Bitcoin)

Langkah ini memberi bayangan yang jelas dalam menafikan peranan institusi kewangan berpusat bank serta polisi kewangan lain yang berkaitan. Sehubungan itu, pengasas Bitcoin dengan nama samaran Satoshi Nakamoto sebaliknya telah mencetuskan idea ke arah pemerkasaan rangkaian rakan-ke-rakan (P2P) dan mata wang tidak berpusat yang tidak bergantung kepada mana-mana pihak ketiga. 

Tidak dinafikan, landskap kewangan global amat mencabar pada ketika ini mengambil kira impak penularan pandemik COVID-19 dan pasaran ekonomi semasa di samping keputusan atau tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa yang lazim menjadi sandaran orang ramai untuk menyimpan wang mereka. Namun di sebalik hikmah pandemik dan krisis kewangan, ia telah mendedahkan kelompong dalam sistem sedia ada serta memberi sinar baharu kepada komuniti untuk mencetuskan solusi penyelesaian yang inovatif. 

Peranan Bitcoin dalam menangani masalah perbelanjaan berganda

Isu perbelanjaan berganda atau double-spend merupakan antara kekangan utama yang dihadapi oleh wang digital dalam fasa awal. Permasalahan ini merujuk kepada risiko mata wang digital yang dibelanjakan sebanyak dua kali. Sebagai contoh, jika anda singgah di sebuah kedai serbaneka untuk membeli barangan dengan harga $20, anda akan menyerahkan wang kertas kepada juruwang untuk dimasukkan dalam mesin daftar tunai. Wang tersebut tidak dapat dibelanjakan semula melainkan ia telah dicuri. Situasi ini adalah berbeza dalam konteks barangan digital seperti gambar atau wayang yang dapat dicetak secara lebih mudah. 

Menerusi Bitcoin, masalah ini dapat ditangani melalui mekanisme pengesahan serta penggunaan lejar awam yang bersifat universal yang dikenali sebagai rantaian blok Bitcoin. Rantaian blok merangkumi sekumpulan “blok” yang mengandungi fail yang merekodkan segala data berkaitan atau dalam kes ini, ia merujuk kepada transaksi Bitcoin terkini. Bayangkan seperti lejar transaksi saham, perbezaannya adalah di mana rantaian blok Bitcoin menghubungkan semua transaksi sebelum disambungkan kepada nod yang terlibat dalam rangkaian Bitcoin. Memandangkan setiap transaksi mempunyai cap waktu (time-stamped) dalam rantaian blok dan berkait antara satu sama lain, ini bermakna proses tersebut tidak boleh diubah atau diusik. 

Jadi apakah kaedah terbaik untuk menyelesaikan perbelanjaan berganda? Sebagai contoh, bayangkan senario di mana anda memiliki 1 BTC dan membelanjakannya dalam dua transaksi yang berbeza dengan menghantar BTC yang sama kepada dua alamat dompet Bitcoin secara berasingan. Kedua-dua transaksi akan dikira sebagai transaksi yang belum ditentu sah. Transaksi A akan disahkan melalui mekanisme pengesahan sebelum diverifikasi ke dalam blok yang seterusnya. Manakala transaksi B pula akan dianggap tidak sah selepas proses pengesahan dan tidak akan diberi pengesahan. Jika kedua-dua transaksi dihantar untuk tujuan pengesahan pada waktu yang sama, maka transaksi yang mendapat pengesahan terbanyak akan ditambah ke dalam rantaian blok. 

Sifat tidak berpusat dan sumber terbuka 

Teknologi di sebalik Bitcoin merangkumi reka bentuk arkitek khas yang diagihkan secara sama rata tanpa sebarang penglibatan entiti tunggal.

Sementara kebanyakan mata wang kripto bersifat tidak berpusat, terdapat juga segelintir kripto yang bersifat berpusat msalnya Bitcoin Cash dan XRP Ripple merupakan antara dua kripto berpusat yang terkenal. Ini bermakna kedua-dua platform dan rangkaian yang beroperasi dikawal selia oleh entiti tunggal dan mempunyai bidang kuasa ke atas kawalan koin pengguna apabila diperlukan. Terdapat juga projek wang digital lain yang terpaksa bergantung kepada bank berpusat untuk menerbitkan wang digital serta mengenal pasti isu berkaitan perbelanjaan berganda. 

Dari satu sudut, sistem berpusat mempunyai banyak kelebihan seperti mengurangkan kekeliruan orang ramai atau mengelakkan daripada berlakunya pembaziran. Lesang Dikgole dalam portal Hackernoon menjelaskan bahawa “buat masa ini wujud kecenderungan ke arah sistem tidak berpusat selepas mempertimbangkan beberapa faktor yang penting. Antaranya termasuk mengambil kira kelemahan sistem berpusat seperti risiko yang statik serta unsur-unsur lain seperti adaptasi dan kebergantungan kepada sistem yang berasaskan sejarah berbanding masa depan.”

Pada dasarnya, sistem berpusat mempunyai satu titik kegagalan yang boleh menyebabkan sebahagian daripada organisasi terpaksa dikompromi. Tambahan pula, sistem sedemikian mungkin berdepan kesukaran apabila dipengaruhi oleh agenda tertentu bagi pihak yang mengawalnya sama ada dari segi politik atau sebaliknya. Sebagai organisasi berpusat yang lazim menyimpan semua data dalam satu fasiliti, situasi ini boleh meningkatkan kebarangkalian serangan daripada penggodam berbanding sistem tidak berpusat yang lain.

Kyle Torpey turut menimbulkan persoalan yang menarik dengan memberi ilustrasi tindakan kerajaan dalam mengawal akses kepada orang umum. Mengulas lanjut beliau, “bayangkan jika struktur asal Bitcoin mirip Ripple atau Stellar. Apakah yang bakal berlaku jika Senator Amerika Syarikat Chuck Schumer dan Joe Manchin bertindak mengenakan sekatan terhadap Laluan Sutera dan Bitcoin pada tahun 2011? Adakah sistem wang digital rakan-ke-rakan masih tetap wujud?” Laluan Sutera sudah pasti mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti tetapi Bitcoin sebenarnya berada dalam spektrum yang bertentangan di mana ia berjaya menafikan tanggapan orang ramai sebagai medium yang digunakan dalam insiden jenayah meskipun wujud reaksi spontan daripada ahli politik tertentu. 

Seperti mana intervensi kerajaan dari segi keupayaan untuk memanipulasi penawaran serta nilai mata wang berkenaan melalui sekatan atau dasar kawalan kewangan fiskal, sistem mata wang kripto yang berpusat turut berdepan dengan prospek dan risiko sama seperti nilai mata wang yang lain dengan keterlibatan pelbagai pihak yang mempunyai niat dan motif masing-masing. 

Menurut penulisan rakan strategik Castle Island Ventures, Nic Carter menjelaskan ribuan pesaing Bitcoin telah cuba untuk menyaingi teknologi unik ini. Dalam salah satu audio siar oleh Laura Shin bertajuk Unchained, Carter menerangkan tentang risiko sistem berpusat dengan menggunakan altcoin EOS sebagai contoh di mana “sistem berpusat membawa risiko yang lebih tinggi terhadap kelangsungan rangkaian dalam jangka masa panjang dan jauh melangkaui penambahbaikan marginal dari sudut teknikal.”

Pada masa yang sama, reka bentuk ekosistem Bitcoin yang unik mampu memberi insentif tambahan berasaskan ekonomi kepada orang ramai untuk mengambil bahagian. Ini termasuk ganjaran perlombongan dan opsyen untuk mengutip fi transaksi. Perisian Bitcoin dengan sumber terbuka bererti ia sentiasa dikemas kini oleh komuniti yang bergiat aktif dalam usaha menambah baik untuk menawarkan aspek kripto yang terbaik demi manfaat para pengguna. Bitcoin tidak menekankan elemen kepercayaan pengguna daripada mana-mana individu atau syarikat dan sifat ini adalah penting untuk melindungi keseluruhan sistem daripada sebarang elemen penyalahgunaan. 

Kesan terhadap rangkaian Bitcoin

Antara cabaran utama untuk mana-mana projek kripto adalah aspek penerimagunaan. Dalam hal ini, Bitcoin merupakan antara mata wang kripto yang mudah diakses dan boleh didapati di kebanyakan platform perdagangan hasil sokongan para pengusaha serta program perisian yang canggih berbanding mata wang kripto yang lain.

Bitcoin juga dilihat mempunyai ekosistem pembangun program yang terbesar. Menurut aktivis dan pembangun program Bitcoin Jimmy Song, Bitcoin dilengkapi “dengan perisian teknologi dan implementasi yang lebih canggih berbanding altcoin.” Jadi ia menjadi tugasan yang mencabar kepada altcoin dalam menyaingi mata wang kripto ini. 

Seperti yang disebutkan tadi, model insentif Bitcoin yang unik telah membantu merancakkan lagi rangkaian secara keseluruhan bukan sahaja sebagai tempat penyimpanan nilai malahan ia menarik minat penyertaan para pelombong dengan keselamatan yang terjamin. 

Baru-baru ini, Bitcoin telah menerima tanda pengiktirafan daripada pelabur institusi apabila mata wang kripto ini berjaya menawarkan produk kepada firma terkemuka termasuk Grayscale dan Pengurusan Pelaburan ARK. Mengambil kira perkembangan positif ini, gergasi perbankan seperti Goldman Sachs dan JPMorgan dijangka akan mengikut jejak dalam mengiktiraf status Bitcoin.

Tawaran fungsi Altcoin dan kegunaan nilai masa depan 

“Kebanyakan altcoin mempunyai perbezaan teknikal berbanding Bitcoin yang memberi nilai tambah kepada pelabur. Faktor ini mengambil kira utiliti altcoin mirip Bitcoin dengan ciri-ciri serta kegunaan altcoin tersendiri,” ulas lanjut Jimmy Song, pendokong Bitcoin merangkap pembangun program dan penulis kripto. Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa semua ciri ini masih belum terbukti berkesan untuk diterapkan sepenuhnya.

Jadi pengasas Altcoin sebenarnya tidak bersaing dengan Bitcoin atau kripto yang lain dengan pasaran modal yang tinggi, sebaliknya dengan perusahaan yang ingin mewujudkan sistem baharu seperti Bitcoin. Jimmy Song mempercayai bahawa “Bitcoin dalam bentuk yang berbeza berpotensi untuk mengatasi kes kegunaan serta manfaat yang dimiliki oleh altcoin.”

Dalam hal ini, orang ramai telah membuat perbandingan antara mata wang kripto dengan era dotcom semenjak tahun 1990 dan awal 2000-an dengan ramalan prospek altcoin yang mungkin akan mengikut jejak era berkenaan. Pelabur dan penulis tersohor, Peter Brandt pernah membuat ciapan di Twitter pada 2019 bahawa mana-mana altcoin tanpa nilai yang unik mungkin tidak akan dapat bertahan lama dalam pasaran.”

Perkara yang sama turut berlaku bagi mana-mana teknologi baharu dalam pasaran. Misalnya, Mark Zuckerberg tidak mencipta rangkaian media sosial atau Steve Jobs yang tidak mencipta komputer bahkan Larry Page bukanlah pengasas kepada enjin pencarian – sebaliknya semua fungsi baharu dibina dan ditambah baik dalam sistem sedia ada. Jadi ia adalah tidak mustahil dengan kemunculan ciri baharu untuk meningkatkan keupayaan Bitcoin pada masa akan datang yang tentunya memerlukan kes kegunaan yang jelas serta penekanan nilai yang khusus ke arah menerajui pasaran semasa.

Apakah pandangan anda terdapat prospek perkembangan altcoin dalam menyaingi Bitcoin? Sila kongsikan dengan kami menerusi Twitter.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

1
0