Adakah anda boleh mengesan alamat Bitcoin?

Meskipun ramai individu mempercayai bahawa Bitcoin mempunyai sifat tanpa nama, namun mana-mana alamat Bitcoin yang diguna pakai dalam sebuah transaksi mungkin boleh dijejaki atau dikesan menerusi analisis forensik. Situasi ini bererti transaksi Bitcoin sebenarnya adalah bersifat pseudo-tanpa nama (pseudoanonymous).

Dalam hal ini, semua transaksi Bitcoin dan alamat dompet telah direkodkan di dalam sebuah rantaian blok awam yang lebih dikenali sebagai rantaian blok Bitcoin. Transaksi ini adalah terbuka untuk diakses oleh mana-mana individu.

Walau bagaimanapun, alamat dompet Bitcoin sendiri tidak mendedahkan maklumat atau identiti tertentu sungguhpun ia dapat memberi sedikit sebanyak bayangan sebelum kajian terperinci atau siasatan lanjut dijalankan. Bayangkan alamat Bitcoin anda seperti alamat emel atau alias digital; kesukaran untuk menghubung kait dengan tindakan anda adalah bergantung kepada kegunaan serta keinginan parti terbabit untuk mengesan anda.

Katakan anda berkongsi alamat dompet Bitcoin anda secara umum misalnya di dalam sebuah forum. Sungguhpun maklumat terperinci tidak dikongsikan, anda mungkin pernah menggunakan nama pengguna yang sama di platform yang lain. Jadi besar kemungkinan anda telah membuat perkongsian maklumat dalam hantaran media sosial yang lain dengan nama tersebut dan situasi ini membolehkan seseorang individu untuk menjejakinya melalui semakan sejarah hantaran. Malahan anda juga mungkin pernah menggunakan alamat emel yang sama untuk mendaftar sebagai ahli baharu di dalam forum awam. 

Ini bermakna setiap kali anda berkongsi alamat dompet Bitcoin, ia meningkatkan kebarangkalian individu lain yang mengesan anda. Jika anda membeli sesuatu daripada kedai, para peniaga mungkin tidak akan menjejaki anda mengambi kira kos yang terlibat. Bagaimanapun, sekiranya anda menggunakan Bitcoin untuk tujuan tertentu yang menyalahi sisi undang-undang, anda boleh dijejaki serta dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Perlu diingatkan bahawa memandangkan anda dapat mengakses transaksi yang berlaku melalui rangkaian Bitcoin, alamat Bitcoin yang berbeza boleh digabungkan secara berkumpulan atau dengan alamat yang sama. Jadi, ia adalah tidak mustahil sekiranya salah satu alamat ini dipadankan kepada identiti sebenar dalam dunia nyata menerusi satu atau lebih daripada satu kaedah menyah-nama.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0