Apa itu kepelbagaian pelaburan?

Seperti ungkapan popular ‘jangan meletakkan semua telur dalam satu bakul’, kepelbagaian dalam aspek pelaburan (diversification) menjadi antara strategi pelaburan berguna yang memberi tumpuan terhadap aspek pengurusan risiko.
Berbanding dengan formula meletakkan semua aset dalam suatu tempat sama ada syarikat, sektor atau kelas aset tertentu, konsep kepelbagaian pelaburan ini dapat membantu mengurangkan pendedahan kepada risiko yang tertumpu dengan memperluas aset dalam kategori berlainan yang berpotensi untuk memberi pulangan yang lebih memberangsangkan.
Sungguhpun kaedah ini dapat mengurangkan risiko, namun semestinya tiada strategi yang sempurna dan tidak mempunyai sebarang kelemahan. Dengan mengambil kaedah yang selamat ini, anda berkemungkinan bakal menerima potensi pulangan pelaburan yang lebih rendah. Begitu juga dalam konteks pelaburan di mana semakin besar pelaburan yang dimiliki, semakin tinggi kos yang perlu ditanggung dan masa yang diperlukan bagi tujuan pemantauan dengan mengambil kira kos transaksi yang terlibat untuk setiap pelaburan.