Apa itu ketidaktentuan pasaran?

Istilah kemeruapan atau ketidaktentuan pasaran (volatility) merujuk kepada pola pergerakan harga pasaran yang dinamik dalam sesuatu tempoh misalnya kenaikan atau penurunan harga sebanyak 30%. Semakin besar jurang pergerakan harga, maka semakin meruap pasaran dengan mengambil kira ketidaktentuan pasaran. Dalam konteks ini, kemerupan yang tinggi sering berkait rapat dengan pelaburan yang berisiko tinggi, sementara pergerakan harga yang stabil dan kurang meruap dilihat sebagai pilihan yang lebih selamat kepada para pelabur.
Namun tanpa pergerakan harga dinamik ini sudah tentu anda tidak dapat meraih pulangan terutamanya dalam pasaran kewangan. Bayangkan kemeruapan pasaran ini seperti anda memandu kenderaan. Hakikatnya mungkin tiada jaminan perjalanan yang lancar sehingga sampai ke destinasi misalnya terpaksa menempuh jalan raya yang berliku-liku atau berlubang tetapi ia sebenarnya hanya bersifat sementara. Jika anda terpaksa membelok secara tiba-tiba untuk mengelakkan haiwan atau halangan di jalan raya, pergerakan anda mungkin terbatas sehingga menyebabkan hilang kawalan atau kereta yang terbabas.
Seperti senario di atas di mana perjalanan di sepanjang lebuh raya mungkin membawa risiko berbeza berbanding kawasan perumahan, jadi penilaian risiko serta perancangan rapi untuk berdepan situasi tidak diduga ini adalah amat relevan terutamanya apabila kita berbincang tentang aspek ketidaktentuan pasaran dalam pasaran kewangan.