Apa yang perlu saya pertimbangkan sebelum membuat pelaburan

Berapakah amaun wang yang sesuai untuk anda melabur? Bagaimana pula dengan risiko yang sanggup ditanggung? Apakah objektif pelaburan anda? Semua pertimbangan ini amat relevan kepada setiap individu sebelum mengambil keputusan untuk melabur. Jenis pelaburan juga berbeza mengambil kira aspek tahap keselamatan, hasil pendapatan serta potensi untuk menjana keuntungan yang dikenali sebagai pulangan pelaburan. 

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin menyimpan wang anda untuk tujuan persaraan, sudah tentu anda tidak ingin membuat pelaburan yang terlalu berisiko berbanding senario kayuhan basikal di Autobahn. Perlindungan modal bermakna mengambil pendekatan secara teliti dan tidak tergopoh-gapah meskipun pelabur yang ingin meraih pulangan yang lebih tinggi mungkin akan memutuskan untuk mengambil risiko yang lebih tinggi. Tambahan pula, terdapat juga pelbagai faktor lain yang perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya. 

Kepelbagaian

Seperti frasa terkenal ‘tidak meletakkan semua telur dalam satu bakul’, begitu juga diversifikasi dalam konteks pelaburan. Dalam hal ini, kaedah mempelbagaikan pelaburan merentasi produk kewangan berbeza mampu mengurangkan tahap risiko anda. Berbanding sekadar menumpukan pelaburan dalam Bitcoin misalnya, anda boleh memilih untuk membahagikan pelaburan anda dalam Bitcoin, Ether dan Bitcoin Cash. Dengan cara ini, jika salah satu aset mencatatkan prestasi yang kurang memberangsangkan impaknya tidak menjadi begitu ketara.

Inflasi

Inflasi menjadi sebahagian daripada pertimbangan pelabur yang penting. Sebagai contoh, sekiranya anda melabur $100 dalam sebuah aset yang memberi pulangan tahunan sebanyak 10%, pelaburan anda akan meningkat sebanyak $10 setiap tahun. Walau bagaimanapun, jika mengambil kira kadar inflasi pada 5% maka pulangan anda sebanyak $10 pada tahun berikutnya sebenarnya hanya bernilai $5. Jadi jika pulangan pelaburan (ROI) anda berada di bawah paras inflasi, pelaburan anda bakal berdepan dengan risiko penyusutan nilai dari semasa ke semasa. 

Kecairan

Para pelabur digalakkan untuk melabur secara berhemah mengikut situasi kewangan masing-masing. Jika anda ingin menggunakan kembali wang yang dilabur dalam masa terdekat, ia mungkin lebih sesuai untuk melabur dalam mana-mana aset yang lebih cair atau dapat dijual dengan segera. Contohnya, hartanah dan dana persaraan mempunyai tahap kecairan yang lebih rendah berbanding saham syarikat atau mata wang kripto. 

Percukaian

Pelaburan boleh dikategorikan kepada kelas aset yang berbeza dengan kadar percukaian yang berlainan di mana sesetengah pelaburan seperti anuiti persaraan dan akaun simpanan bebas cukai dikecualikan daripada cukai sepenuhnya. Jadi anda juga perlu mengambil kira sistem percukaian yang berpotensi untuk mempengaruhi aset pelaburan anda. 

Pulangan

Pulangan sememangnya menjadi tumpuan para pelabur tetapi peraturan umum adalah semakin tinggi pulangan pelaburan, semakin tinggi risiko kerugian. Begitu juga dengan prospek pelaburan berisiko tinggi yang mampu membawa pulangan ke tahap yang lebih tinggi. Aset seperti emas dianggap sebagai aset berisiko rendah jika dilihat dari sudut harga sejarah di mana ia lebih stabil sambil memberi tahap pulangan yang sederhana.

Kebanyakan mata wang kripto adalah bersifat meruap di mana ia membawa potensi pulangan pelaburan yang tinggi dan pada masa yang sama ia turut membawa risiko kerugian yang perlu ditanggung oleh para pelabur. 

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0