Apakah maksud pembrokeran dan perdagangan?

Istilah pembrokeran atau brokerage merujuk kepada perkhidmatan maya yang memberi ruang kepada para pengguna untuk menjalankan aktiviti membeli dan menjual aset seperti saham, syer mahupun kripto dalam matawang tempatan mereka. Pembrokeran lazimnya akan mengenakan caj terhadap para pengguna platform dan menawarkan perkhidmatan tambahan lain seperti pertaruhan (staking) atau kolam kecairan (liquidity pools).
Platform perdagangan pula diwujudkan bagi membolehkan perdagangan berfrekuensi tinggi di mana seorang pedagang cuba membuat jangkaan mengenai pergerakan harga aset tertentu dengan membeli atau menjual aset dalam jangka masa pendek bagi meraih keuntungan susulan perubahan harga pasaran. Seperti pembrokeran, platform perdagangan turut mengenakan caj komisen ke atas pesanan beli dan jual yang dilakukan oleh para pedagang.
Bagi pelabur baru yang ingin membeli sebilangan kecil matawang kripto dan menyimpannya untuk jangka masa panjang, broker menjadi antara pilihan kepada golongan berkenaan. Hal ini kerana prospek perdagangan di dalam platform perdagangan juga mengambil kira aspek penguasaan pengetahuan dan kepakaran seperti indikator teknikal, psikologi pasaran serta pengurusan risiko bagi menghadapi sebarang situasi tidak dijangka yang boleh menjejaskan prestasi perdagangan mereka.
Sungguhpun perdagangan jangka panjang melalui pihak broker membawa risiko tersendiri terutamanya apabila harga merudum, namun ia dianggap sebagai pendekatan yang berisiko rendah memandangkan kebarangkalian kehilangan aset pendasar akibat perdagangan yang merugikan lebih jarang berlaku.