Apakah maksud protokol konsensus?

Protokol konsensus merujuk kepada set peraturan yang menggariskan cara pengoperasian rangkaian. Dalam konteks rangkaian rantaian blok, protokol konsensus menyediakan peraturan bagi tujuan verifikasi transaksi dalam rangkaian sama ada ia adalah sah atau tidak.

Memandangkan sifat teknologi rantaian blok yang bertujuan untuk menyediakan rangkaian tidak berpusat tanpa agensi berpusat yang menentukan kesahan seperti yang dapat diperhatikan dalam bank tradisional, mana-mana pihak boleh menghantar maklumat untuk disimpan dalam rantaian blok dan kewujudan protokol konsensus adalah penting untuk mengisi ruang tersebut bagi tujuan verifikasi maklumat di samping memastikan keselamatan rangkaian.

Protokol konsensus merangkumi pelbagai bentuk. Bagi Bitcoin, protokol konsensusnya dikenali sebagai Proof-of-Work (PoW) di mana ia melibatkan proses perlombongan blok yang mengesahkan setiap transaksi dan memberi perlindungan daripada berlakunya perbelanjaan berganda. Antara jenis protokol yang lain adalah seperti Proof-of-Stake (PoS), Proof-of-Activity (PoA), Proof of Elapse Time (PoET) dan Proof-of-History (PoH).

Protokol atau Algoritma – apakah perbezaannya?

Anda mungkin pernah membaca artikel yang merujuk kepada kedua-dua elemen protokol konsensus dan algoritma.

Protokol merupakan set peraturan yang menentukan bagaimana sebuah sistem, atau dalam kes ini, rangkaian rantaian blok beroperasi. Sementara algoritma diibaratkan seperti pentadbir digital yang memberi isyarat kepada sistem tentang langkah seterusnya yang harus diambil. Protokol menentukan peraturan manakala algoritma pula berfungsi untuk menguatkuasakannya.

Did you find this useful?
0
0