Bagaimana bursa matawang kripto berfungsi?

Secara mudahnya, bursa matawang kripto ialah satu tempat pertemuan pembeli matawang kripto dengan penjual matawang kripto.

Sebahagian besar bursa ini berfungsi sama seperti bursa tradisional aset lain seperti saham. Bursa tradisional ini mempunyai masa dagangan yang telah ditetapkan namun bagi bursa matawang kripto, perdagangan dilakukan secara aktif 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Untuk membuat pembelian di bursa, pembeli perlu membuat deposit ke dalam akaun bursa mereka, juga dikenali sebagai dompet. Deposit boleh dilakukan dengan matawang tempatan atau matawang kripto lain.

Pembeli kemudian meletakkan pesanan ‘beli’ pada bursa. Pesanan ini adalah permintaan untuk membeli Bitcoin atau matawang kripto lain dengan harga pilihan mereka. Pesanan ini, dan pesanan beli dan jual lain ditambah pada ‘buku pesanan’.

Buku pesanan ialah senarai jumlah matawang kripto yang semua pedagang ingin beli atau jual, dan harga yang mereka inginkan. Asasnya, bursa menyediakan perkhidmatan ‘suai padan‘ di antara pembeli dan penjual.

Ingat, platform bursa bukan entiti yang menetapkan harga. Konsep bekalan dan permintaan yang mempengaruhi harga matawang kripto. Platform bursa cuma berfungsi sebagai platform (atau pihak tengah) yang menghubungkan di antara pembeli dan penjual. Oleh sebab itulah anda akan melihat harga yang berbeza di bursa yang berbeza.

Terdapat banyak bursa di luar sana, dan setiap bursa mempunyai keselamatan dan privasi tersendiri. Namun semuanya akan mengenakan caj apabila anda menggunakan perkhidmatan perdagangan di platform mereka. Pastikan anda membuat kajian terhadap pasukan dan tahap keselamatan bursa tersebut sebelum menggunakannya.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0