Bagaimana cara untuk mengenal pasti dan mengelakkan dari insiden penipuan Bitcoin?

Dikemas kini: 2 September 2020
Tidak dinafikan Bitcoin telah menjadi tarikan dalam kalangan penipu ‘scammer’ atas sebab yang tidak dapat dielakkan mengambil kira keunikan Bitcoin yang dilengkapi dengan ciri-ciri tersendiri seperti kelajuan, kebolehpasaran dan bersifat global. Namun di sebalik pertumbuhan pesat mata wang Bitcoin, ia turut terdedah kepada risiko insiden penipuan yang semakin meningkat saban hari.
Situasi ini dapat dielakkan sekiranya langkah pencegahan diambil pada setiap masa. Jadi kami ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai insiden penipuan Bitcoin yang wajar diberi perhatian oleh komuniti kripto. Sila kekal berwaspada!
Skim Ponzi Bitcoin, Program Pelaburan Pulangan Tinggi (HYIP) atau Skim cepat kaya (MLM)
Skim seperti ini lazimnya menjanjikan bulan dan bintang dengan pulangan yang lumayan ataupun kadar fi yang rendah. Pada kebiasaannya, skim berkenaan akan bergantung kepada pelabur sedia ada untuk menarik pelabur baharu yang mendaftar sebagai sumber pendapatan mereka. Seperti skim Ponzi yang lain, pelabur awal akan dibayar dengan wang pelaburan oleh pelabur yang seterusnya.
Tetapi apabila pelabur baharu mula berkurangan dan tidak mendepositkan wang mereka, maka skim tersebut tidak akan membuahkan hasil setelah mengalami situasi kehabisan dana untuk dibayar kembali kepada para pelabur.
Perkara yang wajar diberi tumpuan
Berikut merupakan beberapa petanda yang memberi isyarat bahawa anda mungkin sedang berdepan dengan skim cepat kaya:
- Menjanjikan pulangan/kadar faedah yang lumayan
- Memberi jaminan kononnya anda “tidak akan mengalami kerugian”
- Informasi yang terhad mengenai syarikat atau pemilik syarikat
- Kesukaran untuk mengeluarkan dana/wang pelaburan
- Pautan untuk mendaftar di laman sosial dengan ganjaran yang tinggi
- Seruan untuk “melabur segera”
Penipuan Bitcoin berbentuk phishing
Penipuan secara maya ini adalah amat lazim. Dalam hal ini, para scammer lazimnya akan mencipta emel, menghantar mesej atau membangunkan paparan daftar masuk dan laman sesawang mereka yang mirip dengan syarikat asal tertentu. Apabila seorang individu memasukkan butiran mereka untuk mendaftar masuk akaun (seperti nama pengguna dan kata laluan), ini boleh mendedahkan akaun mereka lebih mudah diakses oleh para penipu.
Jika seseorang menggunakan kata laluan yang sama di laman web yang berbeza, ini juga meningkatkan potensi scammer untuk mendapatkan akses ke akaun mereka termasuk maklumat yang sensitif.
Langkah untuk mengelakkan penipuan
- Tidak klik pada emel yang mencurigakan
- Pastikan ejaan alamat laman sesawang yang betul
- Gunakan kata laluan yang unik dan selamat untuk setiap akaun laman web yang anda miliki
- Penggunaan alat pengurusan kata laluan yang boleh dipercayai
- Mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA) di laman sesawang yang menyokong fungsi tersebut
- Laporkan emel yang mencurigakan kepada penyedia perkhidmatan emel anda (seperti kes penipuan)
- Laporkan laman sesawang yang mencurigakan kepada syarikat pengendali laman web
Insiden penipuan menerusi platform media sosial
Insiden penipuan sedemikian merupakan antara jenis penipuan yang paling lazim berlaku dalam kehidupan harian. Modus operandi penipuan ini berlaku apabila penipu cuba memperdaya mangsa-mangsa baharu menerusi platform media sosial yang diakses orang ramai seperti Facebook, Instagram, Telegram atau Twitter melalui penghantaran mesej terus atau membuat komen di hantaran. Secara amnya, golongan penipu akan memberi janji palsu mengenai pulangan yang lumayan sehingga mendorong mangsa mengantar wang mereka untuk membeli serta menjalankan perdagangan mata wang kripto. Dalam hal ini, mereka mungkin akan melampirkan tangkap layar akaun palsu daripada identiti yang tidak dapat dikenali sebagai tanda penghargaan atas pulangan yang diterima oleh mereka. Malahan dalam sesetengah kes ada juga yang menayangkan tangkap layar palsu dengan baki bank akaun atau dompet Luno yang tidak tepat sama sesekali.
Situasi ini seterusnya membolehkan para scammer untuk memperdaya mangsa sebelum meneruskan perbualan ke aplikasi lain seperti WhatsApp. Pasukan Bantuan Pengguna Luno telah menerima banyak mesej daripada mangsa yang telah ditipu atau terpedaya dan malangnya disebabkan oleh sifat Bitcoin ia adalah agak mustahil untuk mendapatkan kembali wang yang telah dihantar oleh mereka sebelum ditipu. Luno juga tidak menggunakan perkhidmatan pedagang pihak ketiga.
Jadi lindungi diri anda daripada terpedaya atau menjadi mangsa penipuan media sosial dengan mengikuti langkah-langkah di bawah:
- Tidak berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali di mana-mana platform media sosial
- Tidak menghantar sebarang wang anda kepada individu tidak dikenali
Penipuan dalam perlombongan Bitcoin
Bitcoin dicipta menerusi proses perlombongan yang melibatkan proses yang rumit dan aktiviti perlombongan lazimnya melibatkan penggunaan tenaga dan kos yang tinggi. Jadi kadangkala situasi ini mendorong para pelombong untuk mengumpulkan pelaburan daripada pihak luar sebagai pertukaran untuk keuntungan pada masa akan datang.
Dalam konteks perlombongan Bitcoin, terdapat beberapa skim perlombongan Bitcoin yang sah tetapi jauh lebih banyak skim penipuan. Memandangkan ia adalah sukar untuk para pelabur mengesahkan sama ada skim perlombongan tersebut memiliki pembekal perlombongan atau tidak, banyak laman sesawang yang mendakwa kononnya mereka menjalankan aktiviti perlombongan tetapi sebenarnya menggunakan dana pelaburan untuk membayar pulangan lumayan buat sementara waktu sebelum melesap begitu sahaja.
Mengelakkan daripada penipuan perlombongan
Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan:
- Kesukaran untuk mengakses atau verifikasi bukti pemilikan untuk sebarang peralatan operasi perlombongan
- Kesukaran untuk mengakses atau verifikasi alamat dan pemilikan perlombongan awam
- Laman sesawang baru (membuat pencarian melalui pautan archive.org)
- Komisyen rujukan yang tinggi
- Keuntungan yang terjamin
Penipuan dompet dan perdagangan Bitcoin
Sesetengah laman web mendakwa mereka adalah dompet Bitcoin sementara ada yang cuba menjadi platform perdagangan kripto di mana pengguna boleh berdagang Bitcoin atau kedua-duanya tetapi besar kemungkinan kesemua ini sebenarnya merujuk kepada laman yang palsu.
Tindakan ini membolehkan mereka untuk menarik pengguna baharu yang mendaftar akaun dan mendepositkan Bitcoin atau mata wang tempatan sebelum mengaut keuntungan.
Perkara yang perlu diberi perhatian
- Hanya menjalankan perdagangan dengan syarikat berdaftar yang boleh dipercayai
- Pastikan anda melakukan verifikasi pemilik/pemegang taruh yang terlibat
- Buat semakan sama ada mereka disebut dalam penerbitan yang boleh dipercayai
- Sentiasa berwaspada dengan platform perdagangan tanpa nama atau penggunaan aplikasi dan pelayar lanjutan
Senarai penipuan Bitcoin yang lazim
Mengambil kira proses pembangunan laman web yang tidak rumit, ia adalah agak mustahil untuk mengumpulkan senarai penipuan penuh yang sentiasa dikemas kini. Jadi anda dinasihati untuk menjalankan kajian terlebih dahulu untuk mengenal pasti skim-skim yang mencurigakan.
Berikut merupakan beberapa pautan yang berkongsi tentang penyelidikan/komen mengenai skim penipuan:
Jika anda ingin membuat pelaburan maka anda seharusnya melakukan kajian terperinci sama ada menerusi Google dan Reddit supaya anda tidak terpedaya dengan mana-mana skim penipuan tidak kira anda di mana jua.