Mengapa perlu melombong?

Proses melombong emas disifatkan sebagai relevan dengan mengambil kira kawasan yang terletak jauh di dalam perut bumi dan hanya dapat dicapai dengan menggunakan peralatan perlombongan khas. Jadi persoalannya adakah kaedah yang sama turut terpakai untuk sesuatu yang wujud dalam komputer?
Di sebalik terma ‘perlombongan’ yang berkait rapat dengan objek di dalam platform digital yang mungkin sukar difahami, anda boleh membayangkan pelombong Bitcoin ibarat tukang bank dalam rantaian blok untuk memastikan semua maklumat adalah tepat sebelum ia ditambah ke dalam rangkaian secara kolektif. Sebagai sebahagian daripada protokol konsensus, para pelombong yang menyelesaikan teka-teki matematik kemudiannya dapat menambah blok ke dalam rantaian sedia ada untuk mendapatkan ganjaran masing-masing dalam bentuk Bitcoin baharu yang kini telah berjaya dilombong.
Melalui cara ini, para pelombong diberi insentif untuk bekerja secara berkumpulan bagi mengesahkan setiap set transaksi baharu dengan memastikan kesahihan mereka sebelum mendapat ganjaran. Tanpa penglibatan pelombong, rantaian blok tersebut tidak dapat menghalang sebarang aktiviti penipuan ataupun mengesahkan transaksi. Jadi pelombong memainkan peranan yang penting bukan sahaja untuk menjamin keselamatan rangkaian, tetapi juga mengatasi isu perbelanjaan berganda yang boleh berlaku di dalam mana-mana mata wang digital.
Apakah maksud perbelanjaan berganda?
Secara ringkasnya, perbelanjaan berganda merujuk kepada risiko mata wang digital di mana wujud kebarangkalian dua kali perbelanjaan, sama ada akibat kesilapan atau secara sengaja. Isu yang unik ini lazim berlaku kepada mata wang digital berbanding mata wang fizikal tradisional memandangkan informasi digital mempunyai potensi untuk dicipta semula dengan niat jahat oleh pihak tertentu yang memahami rangkaian rangkaian blok serta mempunyai sumber mencukupi untuk memanipulasi sistem tersebut. Jika seorang pengguna mata wang bernama Bill memutuskan untuk memberi sekeping nota £5 kepada rakannya Ben, adakah Ben dapat mengenal pasti sama ada nota tersebut sebenarnya telah dipalsukan? Jawapannya mungkin ya. Namun berbalik kepada dunia digital, perkara ini sebenarnya menjadi lebih rumit.
Berbanding dunia fizikal di mana proses mengenal pasti alatan atau individu terbabit dalam kegiatan pemalsuan dapat dilakukan secara kerap untuk tujuan pemantauan, namun dalam dunia digital anda dapat membuat salinan fail yang mirip salinan asal dengan mudah secara maya.
Bagi menangani isu ini, rantaian blok atau lejar awam Bitcoin berfungsi dengan tujuan supaya sebarang transaksi palsu dapat dikenal pasti dengan mudah dan sebarang percubaan untuk melakukan tindakan sedemikian dapat dihalang dengan sokongan daripada para pelombong. Justeru, peranan pelombong dan proses perlombongan menjadi antara fungsi utama bagi memastikan tahap keselamatan rantaian blok serta segala transaksi adalah terjamin.