Panduan asas kepada stablecoin

Apa Itu Financial Freedom atau Kebebasan Finansial?

Stablecoin telah berjaya mencuri tumpuan orang ramai dalam tempoh setahun yang lalu dengan nilai transaksi yang mencecah rekod hampir $54.9 bilion pada bulan Jun dan saiz pasaran sekitar $25 bilion. Namun apakah sebenarnya stablecoin dengan faktor yang mendorong penggunaannya dan wajarkah untuk kita memberi tumpuan kepadanya?

Apakah itu stablecoin?

Stablecoin merupakan kelas terbaharu matawang kripto yang bertujuan untuk menawarkan kestabilan harga bersandarkan kepada aset simpanan. Misalnya, nilai satu stablecoin ditambat pada matawang luaran yang dianggap ‘stabil’ seperti dolar Amerika atau harga komoditi seperti emas. Ia juga boleh ditambat berdasarkan kepada bakul aset lain yang bersifat stabil.

Berbanding dengan matawang kripto tradisional, harga stablecoin adalah tidak bergantung kepada penawaran dan permintaan. Sebaliknya ia mengambil pendekatan berbeza yang merangkumi pelbagai mekanisme untuk menentukan harga yang ditambat pada aset tertentu. Sebagai contoh, dalam konteks koin USD (USDC), untuk setiap token yang dihasilkan, setiap dolar Amerika Syarikat akan dipegang dalam rizab simpanan sebagai kolateral. Langkah ini secara tidak langsung dapat memastikan setiap token USDC disokong oleh satu dolar Amerika dan ia boleh ditebus pada kadar 1:1.

Stablecoin mula menjadi perhatian menjelang tahun 2014 dengan kewujudan BitUSD, sebuah stablecoin berasaskan kripto yang telah dihasilkan oleh rangkaian blok BitShares. Antara pengasas BitUSD adalah Charles Hoskinson daripada Cardano. Kolateral BitUSD dicagar dengan kripto dan disokong oleh token BTS BitShares yang terikat dalam kontrak pintar sebagai kolateral. 

Susulan daripada itu, terdapat sebilangan stablecoin lain yang muncul seperti USDC dan Tether (USDT) dan menjadi amat popular. Kedua-duanya telah mendapat perhatian orang ramai sejak kebelakangan ini dan mereka kini mempunyai saiz pasaran yang bernilai berbilion-bilion juta. Fenomena ini adalah berpunca daripada beberapa faktor seperti perubahan iklim ekonomi semasa, kehangatan DeFi serta projek Libra di bawah gergasi media sosial, Facebook.

Bagaimanakah dengan fungsi stablecoin?

Terdapat tiga kelas stablecoin iaitu kolateral berasaskan fiat, kolateral berasaskan kripto dan bukan bersifat kolateral (algoritma).

Stablecoin yang bersandarkan pada kolateral fiat mengekalkan rizab simpanan matawang fiat seperti Dolar Amerika sebagai kolateral bagi menghasilkan bilangan koin yang bersesuaian. Selain itu, terdapat juga stablecoin yang disokong oleh harga komoditi seperti emas, perak atau minyak tetapi yang paling kerap digunakan adalah simpanan berbentuk dolar.

Pada kebiasaannya rizab simpanan ini dikendalikan oleh penjaga bebas dan pengauditan dibuat secara berkala bagi memastikan pematuhan yang sewajarnya dalam bidang tersebut.

Manakala stablecoin berasaskan kolateral kripto pula disokong oleh matawang kripto yang lain. Memandangkan rizab simpanan mata wang mungkin terdedah kepada ketidaktentuan harga, kategori stablecoin ini lazimnya terlebih kolateral. Ini bermakna sebilangan besar token kripto dipegang dalam rizab bagi menghasilkan stablecoin dalam bilangan yang kecil. 

Misalnya, Ether yang bernilai sebanyak $200 dipegang sebagai rizab simpanan untuk menghasilkan stablecoin kripto pada kadar $100 dengan mengambil kira pergerakan harga sehingga 50% dalam rizab simpanan tersebut.

Stablecoin tidak berpusat (algoritma) pula tidak menggunakan sebarang rizab simpanan sebaliknya menggunakan mekanisme tertentu untuk mengekalkan harga yang stabil seperti bank-bank pusat. Token ini bergantung kepada algoritma yang dihasilkan secara mekanikal untuk mengubah suai aspek permintaan sekiranya diperlukan bagi mengekalkan harga token berdasarkan pegangan aset. 

Ketiga-tiga kelas stablecoin ini secara amnya mengguna pakai kontrak pintar bagi penjualan token sekiranya harga jatuh ke bawah jangkaan peg atau menawarkan token ke pasaran apabila nilainya bertambah.

Manfaat dan kegunaan 

Tawaran nilai stablecoin adalah jelas kerana ia menggabungkan keupayaan pemprosesan yang singkat di samping memiliki kefungsian, kesesuaian dan keselamatan matawang kripto serta kestabilan dan kepercayaan yang dimiliki oleh matawang fiat. 

Menangani penyusutan nilai mata wang dan pendemokrasian wang 

Kestabilan stablecoin menjadi antara tarikan terutamanya bagi penduduk yang menetap di negara dengan mata wang bersifat kurang stabil atau tidak menentu. Peningkatan tahap inflasi boleh memberi impak yang signifikan dan menyebabkan orang ramai tidak dapat berbelanja atau menampung kos sara hidup asas seperti makanan dan ubat-ubatan. 

Pada teorinya stablecoin menawarkan jalan penyelesaian terhadap ketidakstabilan matawang tempatan tanpa menggunakan kaedah yang menyalahi undang-undang atau tindakan seperti penggunaan matawang asing dan sistem barter. Sebuah matawang dianggap stabil apabila diterbitkan oleh kerajaan dengan pemberian wang boleh guna kepada mereka yang berada di bawah ketidaktentuan rejim politik. Langkah ini juga tertakluk kepada undang-undang tempatan di mana keberkesanannya masih belum terbukti dalam konteks yang spesifik.

Pembayaran dan kiriman wang

Pernahkah anda menghantar wang kepada individu yang berasal daripada negara asing? Proses ini boleh mengambil masa yang panjang serta kos yang tinggi, dan menyukarkan golongan tidak berkemampuan yang terpaksa berdepan dengan kadar fi pihak ketiga yang tinggi atau masa menunggu yang agak lama. 

Pada tahun 2018, kiriman wang ke negara-negara berpendapatan rendah dan tengah di peringkat global mencatatkan rekod sebanyak $529 bilion iaitu peningkatan hampir 9.6% daripada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, kos global bagi penghantaran wang mencapai tahap yang amat tinggi. Contohnya kos penghantaran wang bagi $200 adalah 6.8% dan wilayah Afrika Sub-Saharan terus merekodkan purata tertinggi sekitar 9% meskipun wilayah tersebut meliputi dua pertiga orang migran daripada rantau berkenaan.

Menerusi penghantaran stablecoin daripada dompet kripto, para pengguna berpeluang untuk mengelakkan daripada dikenakan kadar fi tinggi yang ditetapkan oleh pihak bank. Stablecoin juga boleh dihantar ke rantau yang mana Dolar Amerika adalah sukar untuk diperoleh atau kewujudan situasi yang melibatkan ketidakstabilan matawang tempatan.

Perdagangan matawang kripto

Salah satu fungsi utama stablecoin adalah untuk memudah cara perdagangan matawang kripto crypto. Berbanding pembelian kripto dengan matawang fiat, pedagang akan menawarkan penukaran fiat kepada stablecoin sebelum membuat transaksi pelaburan untuk kripto yang lain seperti Bitcoin atau Ether.  Selain penggunaan stablecoin yang mampu mengurangkan fi perdagangan, pedagang yang berpengalaman juga akan menggunakan stablecoin untuk pelbagai tujuan lain seperti pertaruhan (staking) and pinjaman (lending).

Buat masa ini, perlindungan sementara menjadi antara motivasi utama individu yang menggunakan stablecoin. Misalnya pelabur kripto bermungkinan mengambil keputusan untuk membahagikan portfolio antara stablecoin dan aset kripto yang lain supaya mereka tidak terdedah kepada ketidaktentuan pasaran selain mengurangkan risiko mereka apabila pasaran menjunam.

Aplikasi tidak berpusat

Tahun 2020 telah memperlihatkan kemunculan DApps yang mudah untuk diguna pakai dengan antara muka yang intuitif. Stablecoin berasaskan Ethereum merangkumi sekitar separuh daripada jumlah stablecoin yang wujud dalam pasaran dengan nilai keseluruhan berjumlah $11.3 bilion. Selain itu, ia turut mencatatkan prestasi memberangsangkan jika dibandingkan dengan aplikasi kewangan tradisional seperti PayPal hasil aplikasi DeFi yang membantu memudah cara dari segi pemindahan nilai. 

Meminimumkan risiko ketidaktentuan pasaran 

Seperti gelaran stablecoin, token ini dianggap ‘stabil’ selepas mengambil kira nilai relatifnya yang tidak berubah berasaskan matawang yang ditambat. Jadi matlamat utama stablecoin adalah untuk mengurangkan risiko ketidaktentuan pasaran. Langkah ini sekali gus dapat memberi jaminan kepada para pembeli dan penjual bahawa nilai stablecoin tidak akan mengalami perubahan secara drastik dalam jangka masa pendek.

Pembangunan seiring dengan revolusi teknologi

Sistem kewangan yang sedia ada mempunyai cabaran tertentu terutamanya dari segi tahap keberkesanan – ini termasuk kebergantungan kepada pihak ketiga bagi memudah cara proses perpindahan. Antara lain, stablecoin dan rantaian blok teknologi yang membolehkan mod pembayaran dijalankan secara langsung antara pembeli dan penjual serta mengurangkan kos untuk kedua-dua parti. Dalam hal ini, automasi dalam proses verifikasi transaksi dapat membantu menggurangkan tempoh penyelesaian yang diperlukan. 

Pengamalan stablecoin 

Terdapat lebih daripada 200 jenis stablecoin yang dibangunkan oleh institusi swasta dan kita dapat melihat semakin ramai institusi kewangan yang membangunkan versi mereka yang tersendiri dengan kaedah penyelesaian yang efektif dan kos yang lebih rendah. Firma JPMorgan misalnya telah membuat pengumuman mengenai pembangunan koin JPM pada awal tahun ini.

Sebelum ini stablecoin mengambil tempoh lima tahun untuk mencapai penawaran sebanyak $6 bilion, namun ia hanya mengambil tempoh empat bulan daripada bulan Mac sehingga Julai tahun ini untuk menggandakan penawaran kepada $12 bilion. Permintaan ini timbul ketika kita berhadapan dengan situasi pasaran global yang tidak menentu di mana krisis ini telah membuka lembaran baru kepada semua pihak. 

Laporan Coinmetrics dan Bitstamp turut melaporkan peningkatan dari segi stablecoin yang telah menyumbang kepada penggunaan stablecoin terhadap hiperinflasi yang menjejaskan banyak matawang fiat semenjak bulan Mac yang lalu. 

Masa depan Stablecoin

Pada bulan Julai yang lalu, Jawatankuasa Tindakan Kewangan (FATF) memperincikan bahawa terdapat keperluan stablecoin untuk mematuhi piawaian tertentu bagi mengelakkan daripada risiko penggubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan. Ini bermakna sebarang perdagangan, kaunter OTC dan syarikat yang membangunkan stablecoin dikehendaki untuk memperincikan proses bagi tujuan pemantauan transaksi serta aduan KYC (know-your-customer).

Tether masih memegang monopoli pasaran namun persoalan mengenai aspek perundangan telah membuka peluang kepada saingan lain seperti USDC. Dalam hal ini, USDC berjaya mendapat momentum sejak daripada bulan Mac melalui penggunaan DApps dan sekiranya projek Libra di bawah Facebook berhasil maka ia dijangka mewujudkan dimensi baharu dalam pasaran stablecoin. 

Sejajar dengan kerancakan industri kripto yang semakin matang, kita boleh menjangkakan pertumbuhan pesat terutamanya dalam penggunaan stablecoin. Pengamalan stablecoin secara berterusan daripada entiti kewangan tradisional semestinya dapat memperkukuh kedudukan stablecoin dalam kehidupan harian kita. Pada November 2019, Forum Ekonomi Dunia (WEF) antara lain telah membincangkan tentang nilai sebenar stablecoin di samping menggariskan potensi ke arah mewujudkan sebuah sistem kewangan yang inklusif, adil dan saksama.

Adakah anda rasa artikel ini berguna?

0
0