Pemprosesan Fork dari perspektif Luno

Salah satu ciri utama matawang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum adalah ketiadaan entiti yang mempunyai bidang kuasa yang muktamad dari segi pengoperasian. Sehubungan itu, matawang kripto tidak berpusat bergantung kepada komuniti masing-masing untuk mengekalkan rangkaian serta memastikan keberdayaan mereka. Persoalannya, apakah yang berlaku sekiranya komuniti ini berdepan dengan perselisihan dalaman?
Dalam artikel ini, kami akan menerangkan sepintas lalu mengenai operasi fork dan bagaimana ia berlaku, erti fork untuk komuniti kripto dan pendekatan Luno untuk mengintegrasikan elemen fork ke dalam platform Luno.
Mengenali istilah fork dalam rantaian blok
Pada dasarnya, setiap komuniti matawang kripto terdiri daripada pelbagai parti yang menyumbang input dari segi pengoperasian rangkaian, aspek penambahbaikan yang perlu diperbaiki dan juga cara implementasinya. Pada masa sama, setiap pihak mempunyai kecenderungan atau minat yang berbeza dan ini boleh memberi impak kepada operasi rangkaian tidak kira pelombong, pembangun perisian atau pengguna.
Ini bermakna ia menjadi suatu tugas yang mencabar untuk memperoleh persetujuan daripada semua parti. Hakikatnya, ia amat mustahil untuk mendapat pandangan yang sama, lebih-lebih lagi dalam kalangan sekumpulan peserta daripada seluruh pelosok dunia yang sememangnya tidak mengenali sesama sendiri.
Apabila parti yang terlibat mempunyai pandangan berlainan terhadap isu tertentu sama ada persetujuan mengenai kaedah jalan penyelesaian ataupun solusi itu sendiri, maka pembangun perisian boleh menjalankan proses fork daripada perisian sedia ada kepada versi baharu yang beroperasi berpandukan set peraturan baru. Dalam erti kata lain, rantaian blok akan menduplikasi dan berpecah menjadi dua rantaian berbeza termasuk penyelesaian reka bentuk.
Bukankah ia nampak mudah? Ia mungkin dianggap sebagai suatu tugas teknikal yang asas namun tugasan ini boleh tergendala akibat pelbagai faktor seperti penjenamaan, pengagihan, kepercayaan, keselamatan, penambahbaikan serta penerimaan orang ramai.
Hard fork / soft fork
Secara amnya, terdapat dua jenis Fork iaitu hard fork dan soft fork.
Hard fork disifatkan sebagai versi terbaru yang tidak berfungsi dengan rantaian blok sedia ada, dan proses ini tidak akan kembali kepada versi sebelumnya.
Salah satu ilustrasi hard fork yang melibatkan Bitcoin dan Bitcoin Cash berlaku pada tahun 2017. Pada masa itu, sekiranya anda mempunyai satu bitcoin sebelum pelaksanaan fork, maka anda akan memiliki satu bitcoin dan satu koin baru selepas proses fork berlaku.
Hard fork pada kebiasaannya melibatkan perubahan radikal terhadap protokol rangkaian yang menjadikan semua transaksi dan blok yang tidak sah menjadi sah atau sebaliknya. Bagi hard fork, semua nod atau pengguna dikehendaki untuk menaiktaraf perisian protokol mereka ke versi terbaru.
Manakala untuk soft fork, ia berlaku apabila komuniti memutuskan untuk mengemas kini perisian. Dalam konteks ini, versi perisian terbaru menggunakan data daripada versi rantaian blok terdahulu. Misalnya versi Segwit oleh Bitcoin di mana apabila SegWit muncul, alamat baharu dicipta tetapi pengguna yang mengguna pakai alamat lama tidak terkesan dengan perubahan tersebut.
Adakah anda menyokong [nama baharu fork]?
Di Luno, keutamaan kami adalah untuk memastikan supaya keselamatan kewangan para pengguna terjamin and proses fork membawa risiko keselamatan yang tersendiri.
Selain itu, kami juga mempunyai visi dan tanggungjawab untuk memudah cara interaksi pelanggan kami dengan semua matawang kripto yang ditawarkan. Tidak dinafikan, adakalanya cadangan fork mungkin tidak mampu memberi nilai tambah mahupun menambah kerumitan dan kekeliruan terhadap pasaran semasa.
Dokongan kepada fork adalah seperti menyokong koin baru di mana ia memerlukan sumber penjanaan data bagi memastikan supaya segala proses berkaitan berada di landasan yang tepat.
Dalam proses pertimbangan koin baru, kami turut mengambil kira kebarangkalian potensi fork menjadi antara koin terbaik dalam pasaran sejajar dengan nilai tambah yang dapat diberi demi manfaat para pengguna.
Terdapat beribu-ribu jenis Altcoin di pasaran di mana sebahagian besar daripadanya mencerminkan cadangan Bitcoin fork. Justeru, kami akan terus sentiasa membuat penilaian terhadap cadangan untuk menambah koin baru ke dalam platform Luno – untuk ketahui lebih lanjut sila layari cara menilai koin baru dalam blog ini.
Blog asal diterbitkan pada Oktober 2017. Dikemas kini pada Oktober 2020.